Skip to main
Logo Malaysiakini

Speaker tolak undi Tajuddin dalam usul lanjut Sosma

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Dewan Rakyat kecoh hari ini selepas Speaker Azhar Azizan Harun memutuskan untuk meminda keputusan undi blok usul melanjutkan penguatkuasaan subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2022.

Dia mengesahkan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) telah kembali ke Dewan Rakyat untuk mengundi usul itu pada 20 Julai, walaupun telah digantung dua hari oleh Timbalan Speaker Rashid Hasnon awal hari tersebut.

Azhar berkata dia tidak sedar penggantungan Tajuddin pada hari itu kerana dia sedang menghadiri mesyuarat ketika kejadian itu berlaku.

Jelasnya, dia juga tidak dimaklumkan oleh Rashid atau pegawainya mengenai kejadian itu.

"Sebenarnya pada waktu itu, saya yang mempengerusikan majlis tetapi saya tidak dimaklumkan tentang pengantungan itu, dan saya tidak tahu tentang pengantungan tersebut kerana seperti yang saya terangkan tadi, sekiranya saya tahu mengenai perkara ini, sudah tentu saya tidak akan membenarkan Pasir Salak masuk ke dewan untuk mengundi usul menteri dalam negeri tersebut.

"Oleh itu, saya menggunakan Peraturan 100 Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminda keputusan belah bahagian bagi usul daripada menteri dalam negeri tersebut pada 20 Julai 2022, daripada 105 bersetuju kepada 104 bersetuju dan tidak hadir dipinda daripada 32 kepada 33 manakala undi yang tidak bersetuju sebanyak 83 tetap sama,” kata Azhar.

Azhar menjawab soalan Teo Nie Ching (Pakatan Harapan-Kulai) yang sebelum ini menggesa speaker untuk meneliti perkara berkenaan.

Ini mendorong Tajuddin bangun membela dirinya, menegaskan dia tidak diarahkan keluar dari Dewan Rakyat pada 20 Julai dan dia keluar atas kerelaannya sendiri.

"Sebenarnya, ini lah masalah bila kita terlalu baik. Ya, dengar saya dulu. Saya tidak diarah keluar. Saya keluar secara sukarela kerana saya tak nak keadaan kecoh tak habis-habis. Keduanya, saya ada tugas lain di luar sana. Itu sebab saya tinggalkan majlis. Tetapi boleh ditafsirkan bahawa saya diarahkan keluar. Itu tidak benar sama sekali.

"Tetapi apabila dua hari kemudian timbalan speaker kata beliau telah arahkan saya keluar, dan kalau keluar automatik digantung dua hari.

"Saya malas nak berhujah lagi. Saya tak nak buang masa, jadi apa pun dia cakap saya hanya diam," katanya.

"Jadi, nak kata di sini bahawa saya tidak dihalau keluar. Dan saya tidak digantung dua hari," kata ahli parlimen Pasir Salak lagi.

Justeru, Tajuddin berhujah, undinya untuk rang undang-undang Sosma itu harus kekal seperti sedia ada namun dia tetap akur dengan keputusan speaker.

Azhar berkata berdasarkan semakannya terhadap kejadian itu, keadaan ketika itu "hiruk-pikuk" dan oleh itu dia tidak menyalahkan Tajuddin kerana tidak mendengar perintah penggantungan oleh Rashid.

Beberapa ahli parlimen pembangkang kemudiannya menyoal penjelasan Azhar, dengan Hannah Yeoh (PH-Segambut) berkata buat pertama kalinya dia bersetuju dengan Tajuddin.

“Sebab dia kata tak dengar timbalan speaker suruh dia keluar.

"Itu benar. Tiada seorang pun daripada kami mendengar timbalan speaker berkata demikian,” kata Yeoh.

Kata Yeoh, tingkah laku Rashid "sangat bermasalah".

Teo pula cuba menyoal Azhar, tetapi mikrofonnya ditutup beberapa kali oleh speaker, yang menggesa Dewan Rakyat untuk beralih kepada perkara seterusnya dalam agenda mesyuarat kerana dia telah memutuskan perkara tersebut.

"Saya bersikap adil ni, saya mengaku silap. Saya dah dengar. Saya dah dengar, tolong duduk. Terima kasih," katanya.

Ketika Teo cuba terus bersuara, Azhar kemudian berkata akan mengeluarkannya dari Dewan Rakyat jika dia tidak duduk.

"Seorang ahli parlimen yang tak tau dia dihukum, adakah hukuman itu sah atau tak sah, itu soalan saya saja.

"Seorang MP tak tau dia dihalau dua hari tapi timbalan speaker kata dia telah dihukum, adakah itu adil? Itu saja soalan saya, kenapa tak boleh jawab," tanya Teo apabila akhirnya dibenarkan bercakap.

"Saya bukan di sini untuk jawab soalan kamu," kata Azhar.

Dewan Rakyat pada 20 Julai bertukar kecoh selepas Tajuddin berhujah dia ialah pembela wanita sambil menuduh ahli parlimen wanita DAP sebagai 'celupar'.

Semasa 'bertikam lidah' itu, Tajuddin didakwa menyebut perkataan makian Melayu, menyebabkan ahli parlimen pembangkang mendesak tindakan tatatertib terhadapnya.

Rashid kemudiannya memutuskan pada 26 Julai bahawa kata-kata makian yang didakwa keluar dari mulut ahli parlimen Pasir Salak itu tiada dalam hansard.

Dia juga berkata Tajuddin digantung dua hari sebagai hukuman kerana berkelakuan tidak senonoh.

Hukuman itu didakwa Rashid bermula pada 20 Julai apabila dia mengarahkan Tajuddin keluar dari Dewan Rakyat.

Teo sebelum ini menggesa tindakan diambil terhadap Rashid kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Kata Teo lagi, Tajuddin telah kembali ke Dewan Rakyat untuk sesi petang dan mengundi rang undang-undang Sosma pada 20 Julai.