Skip to main
Logo Malaysiakini

'MCA perlu cadang turunkan harga rumah Pr1MA, Rumawip dahulu'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MCA diminta mencadangkan agar harga rumah Pr1ma dan Rumawip turun sebanyak 50 peratus terlebih dahulu sebelum menawarkan diskaun terhadap rumah mampu milik di Selangor.

Adun Rawang (PRK), Chua Wei Kiat berkata demikian susulan kenyataan pengerusi MCA Selangor bahawa BN akan menurunkan harga rumah mampu milik di negeri itu sekiranya gabungan itu mengambil alih semula negeri berkenaan.

"MCA yang merupakan parti komponen yang memegang kuasa dalam kerajaan persekutuan dan beberapa negeri di Malaysia harus berani tampil supaya turut memberi cadangan potongan harga ini terlebih dahulu bagi menyakinkan rakyat terkait cadangan potongan harga yang 'dijanjikan’ seperti di Selangor," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Adun Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata MCA tidak perlu menunggu sehingga mereka membentuk kerajaan Selangor untuk melaksanakan dasar sedemikian kerana mereka boleh melakukannya di negeri Melaka dan Johor yang dikuasai BN.

"Cadangan MCA bukan sahaja bersifat populis tetapi tidak praktikal kerana kos bahan binaan semakin meningkat, menyukarkan pemaju untuk memenuhi permintaan rumah mampu milik," kata Juwairiya, menurut laporan Free Malaysia Today.

Juwairiya ialah setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

Pada konvensyen BN Selangor pada Ahad, pengerusi MCA negeri, Ng Chok Sin berkata kerajaan BN akan menawarkan diskaun 50 peratus untuk rumah yang dijual oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sekiranya memenangi semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.