Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada lagi kebenaran gali pasir, mineral di Tasik Chini - Takiyuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) menegaskan semua aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar termasuk kelulusan pengambilan pasir dan mineral serta pembangunan di Tasik Chini, Pahang sudah dihentikan.

Menterinya, Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan di Tasik Chini agar status sebagai Tapak Rezab Biosfera dikekalkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Kita diberi masa oleh Unesco supaya memulihkan keadaan di Tasik Chini supaya dapat dikekalkan status sebagai Tapak Rezab Biosfera, jadi kita dalam tindakan.

"Tindakan kita ambil dengan menghentikan segala kegiatan di Tasik Chini. Tidak ada kelulusan baru dalam apa-apa usaha. Misalnya untuk ambil pasir, membangunkan kawasan dan mengambil mineral, tidak ada lagi," katanya.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kejohanan olahraga Sekolah Kebangsaan Islah di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu keadaan Tasik Chini sebagai Tapak Rezab Biosfera Unesco mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada 24 Julai lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan Unesco diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.

Sementara itu Takiyuddin berkata, dia akan mengemukakan jawapan terperinci mengenai perkembangan isu tersebut pada sidang parlimen, esok.

"Jadi arahan tegas daripada kerajaan supaya tidak ada lagi kelulusan baru untuk aktiviti galian mineral di sekitar Tasik Chini.

"Yang lebih terperinci saya akan jawab esok di parlimen," katanya.