RUU355 'bakal sampai ke penghujung' - PAS Kelantan
PAS Kelantan memberi bayangan bahawa penantian terhadap pelaksaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355 bakal sampai ke penghujungnya.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya ada dimaklumkan oleh seorang menteri berhubung perkara itu.
"Kita dah sampai di peringkat ke-15 daripada 24 (peringkat) dan insya-Allah saya mendapat perkhabaran daripada seorang menteri, tak lama lagi RUU355 akan sampai ke penghujung sebagaimana yang kita idamkan," katanya.
Tambah exco Kelantan itu lagi selama ini PAS dikritik dan ditertawakan apabila dilihat tidak lagi lantang bersuara sepeti ketika parti itu menjadi pembangkang.
Katanya jika dulu PAS berkumpul untuk mendesak RUU itu diterima, hal itu kerana faktor keadaan semasa apabila mereka berada di luar kerajaan.
"Ya, dulu kita sebagai pembangkang itu (berhimpun) yang boleh kita buat.
"Sekarang kita sebagai kerajaan tidak perlu berkumpul lagi kerana kita dah ada kuasa.
"Apabila kita ada kuasa, kita pegang menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), rupanya kita melihat kuasa yang lebih meluas lagi," katanya.
Mohamed Fadzli berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum sempena sambutan Hari Hududullah 2022 yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Kota Bharu, hari ini.
Mohamed Fadzli tampil sebagai seorang daripada panelis forum tersebut bersama pegawai tugas-tugas khas menteri di jabatan perdana menteri Dr Nurhafilah Musa.
Menurut Adun Temangan itu, ketika ini apa yang dilakukan kerajaan persekutuan ialah cuba untuk mengharmonikan antara undang-undang syariah dan undang-undang sivil yang ada.
Bukan hukum hudud semata-mata
Jelasnya, bukan sahaja RUU355 yang perlu diubah sebaliknya banyak lagi perkara-perkara lain.
"Kita dapati bahawa sebenarnya hukum qisas, takzir ini sudah pun ada dalam undang-undang Malaysia, dalam enakmen jenayah negeri sudah ada, dalam kanun keseksaan pun sudah ada.
"Tinggal saja kita perlu membuat sedikit pembaikan terhadap hukumnya agar selari dengan Islam, itu sahaja... bukan sesuatu yang begitu asing.
"Mengapa menjadi begitu asing? Kerana kita terlalu lama berpaut dan merangkul undang-undang yang diwarisi daripada barat sehingga kita lupa diri kita sendiri," katanya.
Sementara itu Nurhafilah pula berkata kerajaan Kelantan perlu bersedia dalam setiap aspek sebelum RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat kelak.
Jika tidak, katanya, ada kemungkinan Kelantan akan "berputih mata" saja nanti.
"Kejayaan dah hampir dekat sebenarnya, jadi kalau kita (kerajaan negeri) tak bersedia takut orang hijack tengah jalan, berputih mata semua nanti.
"Jadi kalau orang buat strategi untuk menjatuhkan Islam, kita lagilah kena bersungguh-sungguh ada strategi untuk menaikkan Islam," katanya.
Tambah Nurhafilah, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini berada pada langkah ke-15 sebelum di langkah ke-24 itu langkah terakhir.
Katanya kerajaan mahu memastikan semua ahli Dewan Rakyat boleh bersetuju dengan RUU tersebut apabila ia dibentangkan.
"Sebab isunya bukan hukum hudud semata-mata, isunya adalah pemerkasaan mahkamah syariah.
"Jadi RUU355 ini bukan perjuangan politik semata-mata sebenarnya perjuangan orang Islam yang sayangkan Islam dan memastikan kedudukan mahkamah syariah diperkasa," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai