Skip to main
Logo Malaysiakini

Kadar pengangguran menurun kepada 3.9% pada Mei

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kadar pengangguran negara pada Mei 2022 turun menjadi 3.9 peratus berbanding 4.9 peratus pada Jan 2021, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

"Berdasarkan statistik tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, semasa pandemik Covid-19 kadar pengangguran negara telah mencatat rekod tertinggi iaitu 4.9 peratus pada Jan 2021.

"Daripada usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan, kini kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus pada Mei 2022," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, dia menjawab soalan Shahruddin Md Salleh (Pejuang- Sri Gading) yang meminta kerajaan menyatakan apakah penyelesaian yang ada pada Kementerian Sumber Manusia untuk mengurangkan kadar pengangguran negara.

Saravanan berkata pelaksanaan Program JaminKerja-Insentif Penggajian yang merupakan insentif kewangan untuk majikan sudah membuat pengambilan baru mulai 1 Jan tahun ini.

"Sehingga 29 Julai 2022 sebanyak 120,237 pencari kerja berjaya ditempatkan melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh kementerian melalui Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

"Selain itu, kerajaan juga meluaskan Sistem Insuran Pekerjaan-Elaun Mencari Pekerjaan Plus kepada pencarum yang tidak layak mendapat Elaun Mencari Pekerjaan SIP.

"Sehingga 29 Julai 2022 pula, seramai 19,234 pencari kerja diluluskan permohonan bagi program ini," katanya.

Selain itu menurut Saravanan kerajaan melalui HRD Corp menubuhkan pusat penempatan (placement centre) yang berperanan sebagai platform untuk memadankan pekerja dengan peluang yang tersedia.

Katanya, sehingga 31 Julai 2022, sebanyak 43,903 peluang pekerjaan tersedia melalui platform itu dengan mana lebih 6,000 pekerja berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan, perkilangan, borong dan runcit serta lain-lain lagi.

Tambah ahli parlimen Tapah itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 peratus (3,600 pekerja) adalah daripada golongan belia dan sebahagian besar mereka memperoleh gaji sebanyak RM2,000 dan ke atas.