Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS anggap Muhyiddin tetap diperlukan pada masa depan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS berpendapat kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, masih diperlukan pada masa akan datang, bukannya sekadar sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang saja.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah ketika diminta mengulas hasrat Muhyiddin yang mahu bersara selepas PRU ke-15.

Pun begitu Mohd Amar mengakui keputusan sama ada mahu terus aktif memimpin atau sebaliknya tetap terletak pada pertimbangan bekas perdana menteri berenaan.

"Kita merasakan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin bukan hanya untuk menghadapi PRU ke-15, tetapi di masa akan datang.

"Tetapi kalau dia sendiri rasa tak mahu teruskan itu hak dia, pada padangan saya dia masih diperlukan untuk terajui Perikatan Nasional (PN) untuk masa akan datang," katanya.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian ketika ditemui media pada program sambutan Hari Hududullah di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri memberi bayangan dia bersedia untuk bersara daripada politik selepas PRU ke-15 diadakan.

Ahli parlimen Pagoh itu berkata, jika bersara, dia ingin berehat dan meluangkan masa dengan keluarganya.

"Mungkin (sekarang) penggal akhir, lepas itu berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu. Ramai lapan orang, anak-anak.

"Mungkin sudah sampai masa, tapi mungkin juga kalau keadaan mendesak dan memerlukan insya-Allah kita akan fikirkan perkara itu," katanya.