Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya masih ketua penerangan sayap bersekutu Bersatu - Gobi Krishnan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kedudukan jawatan seorang ahli sayap bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini menjadi tanda tanya selepas mendakwa dirinya masih ketua penerangan sayap bersekutu parti itu.

Dalam sidang media semalam, ketua sayapnya, Dr Chong Fat Full berkata S Gobi Krishnan, 46 dipecat daripada semua jawatan parti termasuk selaku ketua penerangan sayap bersekutu selepas diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Bagaimanapun Gobi Krishnan ketika bercakap dengan Malaysiakini mendakwa pemecatan tersebut tidak sah.

"Saya mengambil maklum laporan Malaysiakini mengenai pemecatan saya oleh Chong atas tuduhan yang tidak sah.

"Pertamanya, tindakan ini bertentangan dengan perlembagaan parti kerana beliau selaku ketua sayap bersekutu kebangsaan adalah berstatus penaja, maka beliau tiada kuasa melantik atau memecat jawatan mana-mana ahli.

"Sayap Bersekutu adalah berstatus penaja, maka setiap lantikan hanya boleh dilakukan oleh Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Jelas beliau telah membelakangkan Presiden dan MPT dalam hal ini," kata Gobi Krishnan kepada Malaysiakini.

Pun begitu, dia tidak menjelaskan mengenai status muflisnya seperti yang diperolehi menerusi carian di Jabatan Insolvensi Malaysia.

Dalam sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional semalam, Chong mengesahkan Gobi Krishnan dipecat daripada semua jawatan yang disandangnya dalam parti itu dengan serta-merta.

Chong berkata keputusan pemecatan itu diambil disebabkan Gobi telah disahkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Tambah Chong, pihaknya mengesahkan kesahihan status Gobi Krishnan melalui carian di jabatan berkenaan.

Hasil semakan tersebut, katanya, didapati Gobi Krishnan diisytiharkan muflis sejak 7 Jan tahun lalu.

Bagaimanapun Gobi Krishnan mendakwa hanya Lembaga Disiplin berhak mengambil tindakan terhadap ahli parti.

"Sebab yang diberikan oleh beliau untuk mewajarkan pemecatan ini adalah tidak sah.

"Fasal 22.1 dan 22.5 perlembagaan parti jelas dalam hal ini di mana sebarang aduan untuk pelucutan jawatan harus dibawa kepada lembaga disiplin dan ada proses tertentu iaitu lembaga disiplin akan menyiasat, memanggil yang dituduh dan mendengar penjelasan, seterusnya membuat keputusan.

"Jelas dalam hal ini Chong tiada kuasa, serta telah bertindak membelakangkan perlembagaan parti," katanya.

Katanya, dia akan membuat satu laporan rasmi terhadap Dr Chong kepada Setiausaha Agung Parti serta kepada Lembaga Disiplin kerana melangkaui bidang kuasanya dan mencemarkan nama baik parti dengan mendedahkan perkara dalaman parti kepada umum yang merupakan satu kesalahan di bawah Fasal 22.1 perlembagaan parti.

"Maka setakat ini saya mengesahkan semua jawatan saya masih berjalan seperti biasa," katanya.