Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan tak akan pertimbang permohonan baru lombong di Tasik Chini'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan baru atau penyambungan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) bagi tapak perlombongan dalam kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata kerajaan telah menghentikan semua operasi perlombongan di kawasan itu termasuk tiga pajakan melombong dikeluarkan pada 2020 dan 2021.

"Kerajaan negeri (Pahang) juga telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja ataupun ‘Stop Work Order’ kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021.

"Kerajaan negeri turut melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 seterusnya melaksanakan pemantauan kualiti air kawasan itu, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) dan pewartaan rizab Hutan Simpan Chini," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berhubung tindakan kerajaan bagi merawat dan memulih kembali kawasan Tasik Chini agar tidak dilucutkan status Tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Takiyuddin berkata kerajaan telah menerima satu surat daripada Sekretariat Program Man and Biosphere (MAB) Unesco bertarikh 28 Mei 2021, meminta Malaysia melakukan penambahbaikan ke atas Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera Unesco.

Takiyuddin Hassan

"Saya ingin mengesahkan dalam dewan ini, kerajaan persekutuan dan kerajaan Pahang telah menyediakan satu laporan kajian semula berkala Tasik Chini yang kita diarahkan menyerahkannya sebelum 30 Sept 2022, sudah siap drafnya dan akan dihantar dalam masa ditetapkan," katanya.

Dia berkata kerajaan Pahang juga telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang di bawah Enakmen Kerajaan Negeri bertujuan menguruskan dan menyelaras pelaksanaan pelan pengurusan Tasik Chini.

Selain itu, dia berkata Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mempergiatkan program penanaman pokok sejak 2015 bagi memulihkan kawasan terosot yang turut melibatkan pihak berkepentingan seperti komuniti Orang Asli.

"Pada tahun ini, JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini.

"Ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dengan peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang Covid-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022-Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

Takiyuddin berkata kementerian telah menyediakan peruntukan lebih RM1.5 juta sejak 2016 bagi melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian mutu air manakala Kerajaan Pahang telah membelanjakan lebih RM4 juta menggunakan peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) yang disalurkan kerajaan persekutuan bagi menambah baik pengurusan Tasik Chini untuk tempoh 2019 hingga 2021.

-Bernama