Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelarian hadapi kekurangan akses rawatan kesihatan mental - UNHCR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kurangnya akses kepada rawatan kesihatan mental secara profesional menjadi isu membelenggu golongan pelarian, kata pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Susulan insiden bunuh diri pada Selasa lalu membabitkan sebuah keluarga pelarian di Kepong, UNHCR berkata masalah itu kebiasaannya berpunca daripada kekangan kewangan dan kurangnya kesedaran mengenai masalah mental.

“Pelarian yang terpaksa berpindah sering menghadapi tekanan psikologi daripada pengalaman di negara asal, negara transit dan di negara suaka.

"Penting untuk pastikan kesihatan mental dan kesejahteraan semua individu ini. Dalam isu pelarian, kurangnya akses kepada rawatan kesihatan mental profesional sering menjadi isu utama disebabkan masalah kewangan dan kurangnya kesedaran.

"Ia juga ditambah dengan kekurangan kepakaran khusus di negara ini dalam menangani keperluan kesihatan mental pelarian yang berpunca daripada keadaan unik mereka," kata jurucakap Yante Ismail kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi UNHCR Malaysia untuk mengulas kejadian awal pagi Selasa lalu.

Kejadian itu menyaksikan dua kanak-kanak warga Myanmar terbunuh manakala seorang lagi cedera parah selepas mereka dicampak dari jejambat oleh bapa mereka, yang kemudiannya terjun di tempat yang sama.

Difahamkan bapa berkenaan yang berumur 38 tahun mengalami kemurungan selama kira-kira setahun selepas tidak dapat mencari pekerjaan dan dijangkiti Covid-19.

Faktor yang menyumbang kepada kejadian bunuh diri selalunya kompleks, dan masalah kesihatan mental tidak semestinya membawa kepada bunuh diri.

Tindakan bunuh diri boleh dicegah tepat pada masanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Yante berkata, pelarian di Malaysia boleh mengakses perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial yang disediakan oleh rakan NGO UNHCR di sini.

Ia termasuk Yayasan Tzu Chi Buddha dan klinik yang dikendalikan oleh Mercy Malaysia.

Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut boleh mendapatkan maklumat melalui portal maklumat RefugeeMalaysia.org UNHCR atau klik di sini.

Menurut Yante, UNHCR juga mempunyai projek kumpulan sokongan psikososial dalam talian dengan Universiti New South Wales (UNSW) bagi wanita pelarian mendapatkan sokongan dan bantuan mengenai perkara yang berkaitan dengan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi mereka dalam tempoh Covid-19.

Jika anda berasa tertekan atau terlintas untuk membunuh diri, atau mengenali seseorang yang cenderung ke arah itu boleh menghubungi talian hotline berikut:Talian Kasih

Talian Utama: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Penting: 03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk petugas barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.