Skip to main
Logo Malaysiakini

PM digesa adakan sidang khas parlimen bincang isu kontrak LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob digesa mengadakan sidang khas Parlimen selama sehari bagi membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu perolehan kapal tempur pesisir atau littoral combatant ship (LCS).

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong berkata memandangkan sidang Dewan Rakyat berakhir hari ini, mereka mencadangkan agar Ismail Sabri - yang merupakan mantan menteri pertahanan - bersetuju dengan sidang khas satu hari itu.

Kata mereka sidang khas tersebut boleh diadakan pada awal bulan depan bagi mencari penyelesaian kepada isu perolehan LCS.

"Kami juga akan menulis kepada presiden Dewan Negara untuk menarik perhatian beliau supaya memperuntukkan satu hari semasa Dewan Negara bersidang dari 8 sehingga 16 Ogos untuk perbahasan laporan PAC.

"Kami mengucapkan tahniah kepada PAC Parlimen atas penerbitan Laporan Berhubung Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua - Littoral Combat Ship Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia yang dibentang kepada parlimen pada hari ini.

"Perolehan enam buah kapal LCS yang dilaksanakan secara rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM9.128 bilion adalah perolehan yang paling besar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dan juga salah projek yang paling besar kerajaan Malaysia," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu PAC melaporkan - antara lain - pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir LCS itu tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan serta syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Menurut laporan itu, itu adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

Mohamad dan Liew berkata, kontrak perolehan LCS itu yang bermula dari 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 bertujuan bagi meningkatkan keupayaan TLDM.

Namun jelas mereka, sehingga kini tiada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina.

"Semasa Mohamad menjadi menteri pertahanan, sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai Ambrin Buang ditubuhkan pada Mei 2018 untuk menyiasat projek-projek yang mecurigakan.

"Pada 11 Feb 2020, kurang dari dua minggu sebelum berlakunya Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kami berdua bersama Ambrin, Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Mohd Reza Mohd Sany dan pegawai-pegawai tinggi kementerian memberi taklimat kepada perdana menteri semasa, Dr Mahathir Mohamad.

"Keputusan hala tuju telah dicapai pada mesyuarat tersebut tetapi tidak dapat dilaksanakan selepas kerajaan PH tumbang," kata Mohamad dan Liew.

Tambah mereka, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada 20 April lalu mengumumkan bahawa projek LCS akan diteruskan tetapi tiada sesiapa termasuk PAC dimaklumkan butiran dan kaedah mendapat dana, dan juga rangka masa.

Justeru kata mereka Hishammuddin dan kerajaan mesti memberi penjelasan yang telus dan jelas, serta menjaminkan tiada penyelewengan dana yang akan membawa kemudaratan kepada negara.