Isu LCS: Pesalah tak akan terlepas, kata menteri
Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Rafizi Ramli.
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa pihak yang terlibat dalam salah saku perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion tidak akan terlepas.
“Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya yang memberitahu siasatan sedang berjalan dan disyor disegerakan.
Menurut laporan PCA, pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam pemerolehan LCS.
Menurut laporan itu, ia antara sebab berlaku lebihan kos RM1.4 bilion dalam kontrak yang dianugerahkan kepada BNS itu.
Menurut PAC, TLDM pada mahukan reka bentuk Sigma dan dipersetujui pada Mei 2011.
Bagaimanapun, keputusan itu diubah kepada reka bentuk Gowind, pengeluar sama kapal selam Scorpaena dari Perancis.
Keputusan itu, menurut PAC, berikutan cadangan BNS kepada menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Julai 2011.
Laporan PAC turut memetik kenyataan panglima TLDM Abdul Aziz ketika itu yang berkata “ada sesuatu yang sangat tidak betul”.
PAC juga mendapati terma kontrak projek itu lemah dan tidak memihak kepada kerajaan, sehingga bayaran kemajuan melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus.
Dalam kenyataan sebentar tadi, beberapa jam selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan berkaitan projek itu, Hishammuddin berkata kementeriannya telah memberikan kerjasama penuh dan telus.
Katanya, Kementerian Pertahanan (Mindef) menghadiri prosiding serta proses siasatan PAC.
Sementara itu, reaksi awalnya, kata Hishammuddin, Mindef dan semua pemegang taruh akan meneliti laporan tersebut dan mengambil kira kesemua syor meneruskan projek itu.
Berkaitan usasha di peringkat kerajaan, dia berkata pada April lalu, kabinet bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pengilang peralatan asal (OEM) dan vendor.
Seterusnya, menurut pelan itu, memuktamadkan rancangan masa hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan TLDM.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) serta ketua setiausaha Mindef.
Jawatankuasa itu, katanya, ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dan melaporkan perkembangannya kepada kabinet.
“Melangkah ke hadapan, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS ini dapat diteruskan dengan lancar.
“LCS aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan TLDM,” katanya.
Pagi tadi bekas menteri pertahanan dan timbalannya Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong menuntut Hishammuddin dan kerajaan memberi keterangan telus dan jelas serta menjamin tiada penyelewengan dana yang akan membawa kemudaratan.
“Menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mengumumkan pada 20 April 2022 bahawa projek LCS akan diteruskan tetapi tiada sesiapa, termasuk PAC, dimaklumkan butiran dan kaedah mendapat dana, dan juga jadual masa,” kata mereka.
Soalan Rafizi untuk Hisham
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula membangkitkan kenapa Hishamuddin tidak menangani penemuan penyelewengan yang menurutnya sekurang-kurangnya RM890 juta.
Katanya, tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut.
“Sebagai menteri pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini,” katanya dalam kenyataan.
Rafizi berkata Hishamuddin ialah menteri yang menandatangani kontrak pada tahun 2014 dan menandatangani perjanjian tambahan pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai