Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek Bandar Aeroangkasa Pahang patuhi syarat - MB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Pahang sentiasa berusaha memastikan segala syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan dipatuhi supaya projek pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang yang turut melibatkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan projek bercampur direalisasikan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 15 Julai 2020, kerajaan negeri bersetuju supaya kajian komprehensif terhadap cadangan pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang itu dilaksanakan.

Beliau berkata cadangan projek itu telah dibentangkan dan mendapat perakuan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-39 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Okt lepas.

"Pengoperasian lapangan terbang ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak syarikat melalui cadangan pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya pembangunan projek itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, di sini secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang konsep pembangunannya adalah secara bina-kendali-milik (BOO).

Mengulas lanjut, beliau berkata satu garis masa telah ditetapkan bagi jangkaan tempoh pembinaan dan jangkaan mula beroperasi, supaya semua pihak berkepentingan membuat tindakan dan mematuhi semua syarat pembinaan lapangan terbang, sehingga mendapat kelulusan Lesen Pengendali Aerodrome (AOL) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Perancangan garis masa ini penting bagi kerajaan negeri, kerana projek ini merupakan projek berimpak tinggi selaras dengan hasrat menjadikan Pahang sebagai hab transit nasional," katanya.

Wan Rosdy berkata pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang turut mengambil kira faktor hab ekonomi yang lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng selain berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), serta menjadi pintu masuk utama ke negeri pantai timur.

Sehubungan itu, pada 1 Mac lepas satu Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan selaku pemilik tanah, Pahang Corporation Sdn Bhd sebagai pengurus serta penasihat projek, dan Gading Group Berhad selaku pemaju utama bagi cadangan pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

Katanya pemeteraian MoA ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri termasuk mendapatkan komitmen daripada pemaju utama bagi menjayakan projek ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata bagi melaksanakan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, dua Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara pemaju utama dan rakan strategik pada 6 Julai lepas.

"Pihak pemaju utama sedang dalam proses penyediaan dokumen dan menjalankan kajian yang berkaitan bagi mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan," katanya.

Menurut beliau kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

“Saya amat berharap projek ini mendapat sokongan semua pihak, agar lonjakan ekonomi bukan sahaja diterima oleh Pahang tetapi negeri lain terutamanya di Pantai Timur," katanya.

- Bernama