Skip to main
Logo Malaysiakini

Duta khas PM ke China kutuk lawatan Pelosi ke Taiwan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Duta Khas Perdana Menteri ke China Tiong King Sing hari ini mengutuk lawatan dua hari oleh Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi ke Taiwan pada awal minggu, berkata perjalanan itu menjejaskan kestabilan serantau.

Dalam satu kenyataan hari ini, ahli parlimen Bintulu itu berkata AS melanggar prinsip satu China dan tiga komunikasi bersama China-AS.

"Pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine belum berakhir dan dunia sedang bekerja keras untuk memulihkan ekonomi dan mengekalkan keamanan.

"Pada masa genting ini, kita perlu melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kestabilan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan perpecahan (sesama kita)," katanya.

"Saya ingin mengulangi bahawa Malaysia dan China komited untuk saling menghormati kemerdekaan negara, kedaulatan dan integriti wilayah. Taiwan adalah bahagian China yang tidak boleh dipisahkan. Kami berpegang kepada prinsip satu China," katanya.

"Kerajaan Republik Rakyat China adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China dan menyokong pembangunan aman dan keharmonian hubungan antara selat (Taiwan)."

Tiong menggesa negara barat supaya tidak mengamalkan sikap double standard dalam isu Taiwan dan Ukraine.

"Di satu pihak, mereka mengutuk Rusia, membantah pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dan menyeru kedaulatan Ukraine, tetapi di sisi lain, mereka berhasrat untuk mencampuri hal ehwal dalaman di wilayah Selat Taiwan dan menggunakan Taiwan untuk memecahbelahkan China."

"Malaysia berharap keadaan akan reda secepat mungkin dan kami menggesa AS menangani perkara itu dengan berhati-hati," katanya.

Pelosi, yang memulakan lawatannya ke Asia minggu lalu, tiba di Malaysia pada pagi Selasa dan kemudian membuat lawatan dua hari tanpa pemberitahuan ke Taiwan walaupun diberi amaran berulang kali dari China.

Pelosi ialah pemimpin politik AS yang paling kanan melawat Taiwan sejak 1997.

Selepas menghadiri pertemuan dengan Presiden Taiwan Tsai Ing Wen pada hari Rabu (gambar, bawah) Pelosi berjanji solidariti dengan Taiwan dan memuji demokrasinya.

Ketika Tiong mengambil sikap tegas dalam menyelar AS, Putrajaya, khususnya Menteri Luar Saifuddi Abdullah menggunakan pendekatan yang lebih lembut dan neutral dalam menangani isu itu.

Saifuddin pada Rabu berkata bahawa Malaysia sedang memantau dengan teliti perkembangan di Selat Taiwan selepas ketegangan tercetus antara China dan Amerika Syarikat berikutan lawatan Pelosi ke Taiwan.

"Jadi tanpa pergi lebih jauh, saya hanya akan mengulangi fakta bahawa kami mahu semua pihak yang berkenaan melihat keadaan ini dan menanganinya dengan cara yang terbaik," katanya.