Impian dapat gaji lumayan bertukar jadi pengalaman ngeri
Impian seorang pemuda berusia 23 tahun untuk mendapat gaji lumayan dengan tawaran bekerja di kasino di Kemboja, bertukar menjadi 'tragedi hitam' dalam hidupnya selama tujuh bulan.
Mah (bukan nama sebenar) yang berasal dari Sibu menaiki penerbangan dari Singapura ke Phnom Penh pada Januari lalu dan tiba di Sihanoukville, Kemboja, sebelum dijerat sindiket penipuan, dikurung dan diseksa.
Berkongsi pengalamannya pada sidang media di ibu pejabat PKR semalam, Mah berkata dia hanya tahu yang dia bekerja dengan sindiket penipuan dan bukannya kasino apabila dibawa ke tapak operasi yang dijalankan kumpulan sindiket penipuan orang Cina.
Ketika tiba, Mah berkata dia digari dan diikat di dalam bilik gelap, dipukul, serta dikenakan renjatan elektrik selepas enggan bekerja dan mematuhi arahan sindiket. Malah dia tidak dibenarkan makan dan tidur selama dua hari.
Mah dan seorang lagi mangsa warga Malaysia berkongsi pengalaman mereka pada sidang akhbar yang diiadakan oleh Adun Teruntum, Sim Chon Siang.
Sim berkata, berikutan perintah sekatan akibat Covid-19 dan kawalan sempadan yang ketat di China, modus operandi sindiket itu beralih dengan merekrut orang Cina dari Malaysia, Taiwan dan Macau untuk melakukan penipuan.
Mah berkata dia dipaksa sindiket itu menandatangani dokumen yang menyatakan bahawa dia perlu membayar "pampasan" yang besar jika dia melanggar syarat perjanjian atau melaksanakan tugasnya untuk menipu mangsa mereka.
“Pampasan” berkenaan berjumlah dari AS$17,000 hingga AS$28,000 (RM75,752 hingga RM184,768), dan jumlah itu adalh harga yang akan dibayar sekiranya dia “dijual” kepada sindiket lain.
Dia juga diberitahu oleh sindiket itu untuk berbohong dengan mengatakan dia berasal dari wilayah Sichuan di China kerana warga China mendapat harga "jualan" yang lebih tinggi.
Mah dijual daripada satu sindiket kepada sindiket yang lain sebanyak lima kali.
Bebas sekejap
Semasa bekerja, dia secara rahsia menggunakan telefon untuk menghubungi keluarga di Malaysia, yang kemudiannya membuat laporan polis dan menghubungi Sim untuk mendapatkan bantuan.
Selepas laporan polis dibuat, Mah diselamatkan sementara oleh polis tempatan dan ditahan di lokap selama empat hari.
Bagaimanapun, ia tidak lama kerana sindiket itu "membeli" Mah daripada polis dan memaksanya merakam video yang menyatakan dia mahu kekal dan bekerja di Kemboja.
Apabila kembali ke markas operasi sindiket, dia dipukul dengan kejam dengan buku lima dan kemudian "dijual" kepada sindiket lain dua hari kemudian.
Ketika Mah diperdagangkan buat kali kelima, dia dijual kepada sindiket Cina lain di Myanmar dengan harga AS$58,000 (RM258,448).
Sepanjang perjalanan, dia bertemu seorang lagi mangsa warga Malaysia Foong (bukan nama sebenar) yang tiba di Sihanoukville pada Mei.
Remaja berusia 17 tahun dari Perak itu berkata dia diculik di Sihanoukville selepas dia menerima tawaran kerja di "kasino" yang diiklankan di Facebook.
Dia menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Bangkok dan diseludup masuk ke Sihanoukville.
Menurut Foong, terdapat lebih 20 bangunan di kawasan berkenaan yang dikelilingi pagar tinggi dan pengawal menghalang sesiapa daripada keluar.
Disebabkan tidak pandai menipu orang, Foong "dijual" kepada sindiket penipuan lain sebanyak lima kali dalam tiga bulan.
Selain sering dipukul dan diseksa, dia juga diberitahu untuk berbohong bahawa berasal dari wilayah Guangdong di China.
Larikan diri di Thailand
Bersama Mah dan Foong, terdapat empat lagi mangsa dari China dan seorang dari Taiwan yang diseludup ke Myanmar dari Kemboja melalui Thailand.
Selepas dibawa ke Thailand, mereka bertujuh melarikan diri di pusat pemeriksaan sempadan dengan berpura-pura pergi ke tandas.
Mah dan Foong kemudian pergi ke pusat beli-belah berhampiran di mana mereka menukar jumlah kecil dolar AS dan ringgit Malaysia yang mereka miliki sebanyak 700 baht (RM87), yang mereka gunakan untuk membeli kad SIM untuk menghubungi Sim.
Sejurus menerima panggilan itu, Sim bimbang kedua-duanya boleh dikesan sindiket dan mengarahkan mereka menaiki teksi ke hotel untuk menunggu ketibaannya.
Dia menempah hotel itu untuk mereka dalam talian kerana kedua-duanya hanya mempunyai baki 200 baht (RM25) dan wang kertas RM50 yang Mah tidak mahu gunakan atas sebab sentimental.
“Wang RM50 itu sudah tujuh bulan bersama saya. Saya merindui Malaysia setiap kali saya melihatnya,” kata Mah.
Mah juga mendedahkan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja dan berharap pihak berkuasa Malaysia dapat menyelamatkan mereka.
“Ia bukan tempat untuk manusia,” tambah Foong.
Pada sidang akhbar itu, Sim mengucapkan terima kasih kepada kedutaan Malaysia di Thailand dan seorang ahli perniagaan Malaysia yang hanya dikenali sebagai Wong kerana membantu menamatkan kesengsaraan yang dialami Mah dan Foong.
Kedua-duanya didenda 27,000 baht (RM3,358) setiap seorang tetapi dikecualikan daripada penjara dan berjaya pulang ke Malaysia pada Khamis lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai