Skip to main
Logo Malaysiakini

Protes gaji naik: Umno Putrajaya turun sokong jika Cuepacs berpiket

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mesyuarat Umno Bahagian Putrajaya yang dipengerusikan oleh Tengku Adnan Mansor telah membuat keputusan menyokong "perjuangan Cuepacs untuk peningkatan gaji skim penjawatan kerajaan."

"Oleh demikian, Umno Bahagian Putrajaya memandang serius perjuangan ini dan memberikan sokongan penuh kepada Cuepacs untuk memelihara kepentingan penjawat awam di seluruh negara.

"Umno Putrajaya meminta kerajaan mengkaji semula gaji dan elaun kakitangan awam sejajar dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk turun sama berpiket bersama dengan Cuepacs sekiranya ia diadakan," kata bahagian Umno itu pada satu kenyataan hari ini.

Presiden Cuepacs Adnan Mat.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat dilaporkan berkata saranan menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil.

"Jika gaji mereka tidak disemak sebelum parlimen dibubarkan, Cuepacs bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam," katanya pada 27 Julai lalu.

Menurut Adnan, perhimpunan itu juga akan menuntut pengurangan kos barangan sebelum pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Jelasnya lagi, struktur gaji semasa penjawat awam sudah dilaksanakan sejak 2002 dan wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan zaman semasa.

Gambar hiasan, penjawat awam.

Adnan dipetik berkata antara cadangan lain termasuk:

  • pelaksanaan gaji minimum RM1,800 untuk kakitangan awam;

  • dua kenaikan setiap tahun;

  • sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil dan saksama;

  • elaun pelbagai tugas;

  • elaun batik dan pakaian kebangsaan;

  • mengisi kekosongan jawatan pembantu tadbir dengan segera;

  • tiada pelupusan jawatan yang tidak diisi selama dua tahun seperti yang terkandung dalam pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini sebagai langkah penjimatan kos; dan

  • menamakan semula jawatan pembantu tadbir kepada pegawai perkeranian, seperti sebelum ini.