Skip to main
Logo Malaysiakini

'Harapan dirampas dari genggaman' - Ibu M'sia tuntut kerakyatan anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara bersama pasangan bukan warga negara berhadapan diskriminasi untuk mendapatkan hak kerakyatan terhadap cahaya mata mereka, kata aktivis.

Ini selepas kerajaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk menafikan kerakyatan kepada anak kelahiran di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tetapi berbapakan warga asing.

Suriani Kempe yang memimpin kumpulan hak keluarga Family Frontiers dalam cabaran undang-undang terhadap kerajaan berkata demikian dalam menggambarkan keadaan berat sebelah antara wanita dan lelaki di negara ini berikutan keputusan terkini di Mahkamah Rayuan.

“Dari sisi kami, kami dapat melihat bahawa anak-anak kepada lelaki berwarganegara Malaysia dapat mengakses hak yang paling asas, seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan boleh tinggal bersama sebagai sebuah keluarga tanpa rasa takut untuk berpisah.

"Jika kita boleh membawa anak-anak kita melalui ‘pintu’ itu (cara yang sama), kita akan baik-baik saja," kata Suriani (gambar, atas) melalui hantaran di Facebook.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini seakan memberi harapan baru untuk ibu warganegara Malaysia dan anak-anak mereka.

Pada 9 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Responden dalam kes itu adalah enam ibu warganegara Malaysia dan kumpulan hak keluarga Family Frontiers.

“Tetapi keputusan Mahkamah Rayuan itu menutup pintu semula, dan ia seperti sebuah harapan yang dirampas dari dalam genggaman kami dan ditolak sekali lagi dan ia menyakitkan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuatkuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel tiga orang yang dipengerusikan oleh Hakim Kamaludin Md Said membenarkan rayuan oleh tiga perayu - kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menjelaskan bahawa kerakyatan yang telah diberikan kepada anak-anak daripada enam ibu warga Malaysia itu akan kekal, sementara menunggu rayuan mereka diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Apa perkembangan jawatankuasa Majlis Raja-Raja?

Panel tiga hakim itu juga memaklumkan bahawa status permohonan kewarganegaraan bagi anak-anak yang dilahirkan di luar negara itu yang masih belum selesai diproses oleh JPN akan 'dibekukan' sementara menunggu rayuan diputuskan di mahkamah tertinggi negara.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada satu kenyataan hari ini kecewa dengan keputusan itu.

Suhakam berkata keputusan itu akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada ibu Malaysia tetapi juga anak-anak mereka dalam memenuhi keperluan asas.

Ini katanya, termasuk akses kepada perkhidmatan perubatan, pendidikan, kewarganegaraan dan hak-hak lain yang dijamin kepada semua warganegara Malaysia di bawah undang-undang Malaysia.

“Suhakam menghimbau komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) untuk memastikan perundangan tempatan memberikan hak yang saksama antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang diskriminasi dan melindungi anak-anak serta memastikan pemenuhan terhadap hak asasi mereka.

“Selaku negara yang telah meratifikasikan kedua-dua instrumen, Malaysia sewajarnya melaksanakan prinsip bona fide iaitu suci hati, niat dan tindakan untuk memartabatkan prinsip-prinsip di dalam instrumen dengan memastikan ia dilaksanakan dan diterapkan dalam perundangan,” kata suruhanjaya itu.

Suhakam turut mengingatkan bahawa pada 23 November tahun lalu, Majlis Raja-raja telah meluluskan penubuhan jawatankuasa yang diberi tempoh enam bulan untuk mengusahakan pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan mengenai pemerolehan kewarganegaraan.

“Walaubagaimanapun, tempoh enam bulan tersebut telah berlalu dan tiada sebarang pembentangan berhubung (perkara itu).

“Suhakam menegaskan bahawa pindaan perenggan (b) Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan tersebut amat mustahak untuk dilaksanakan dengan segera di Parlimen, dan kelewatan dalam melaksanakannya adalah satu pengabaian terancang terhadap hak wanita dan kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

[Baca berita asal]