Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS gesa siasatan menyeluruh skandal kapal tempur LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS menggesa siasatan menyeluruh terhadap pihak yang terlibat dalam isu perolehan kapal peronda generasi kedua - Littoral Combatant Ship (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa individu ataupun syarikat yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab serta merugikan wang negara.

“Pendedahan menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menunjukkan bahawa pembayaran oleh kerajaan sebanyak RM6.083 bilion telah hilang tanpa sebarang hasil.

“Sehingga hari ini, tiada satu pun daripada enam kapal tersebut diserahkan kepada TLDM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, perolehan enam kapal tempur LCS diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada awal 2011 berikutan permintaan yang dibuat TLDM.

Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara terus tanpa tender terbuka.

Kontrak itu berkuat kuasa pada 3 Oktober 2013 dan akan tamat pada 2 Oktober tahun depan.

Bagaimanapun pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa PIlihan Khas Parlimen (PAC) yang meneliti pengendalian projek LCS mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6 bilion walaupun tiada satu pun kapal yang siap.

LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan PAC.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima TLDM tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata apa yang lebih mengecewakan apabila pandangan TLDM selaku pihak yang penting tidak dihiraukan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek ketika itu.

“PAS menyeru kepada semua pihak untuk bersama memberi sokongan terhadap langkah yang diambil pihak berkuasa terutamanya SPRM.

“Kerajaan perlu tegas dan pastikan mereka yang telah merobek maruah pertahanan negara segera dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata dia enggan mengulas lanjut berhubung siasatan projek LCS itu kerana perlu menjaga sensitiviti siasatan dan kerahsiaan kes berkenaan.

Sebaliknya, dia memberitahu keputusan mengenai hasil siasatan yang dijalankan SPRM akan diumumkan dalam masa terdekat nanti.