Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah tolak permohonan injunksi Zahid terhadap Muhyiddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa isu-isu dalam saman fitnah Ahmad Zahid Hamidi terhadap Muhyiddin Yassin adalah lebih baik ditangani semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu.

Hakim Rohana Ali Yusoff berkata demikian ketika menolak permohonan injunksi interim bekas timbalan perdana menteri terhadap bekas perdana menteri itu awal hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan injunksi Ahmad Zahid bagi menghalang Muhyiddin Yassin daripada terus mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya.

Ketika dihubungi, peguam Zahid Shahrul Fazli Kamarulzaman mengesahkan keputusan prosiding.

“Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua peguam bela, mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan isu yang dibangkitkan adalah lebih baik diselesaikan dan diputuskan semasa perbicaraan.

“Isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak bertelagah adalah seperti berikut, sama ada kenyataan defendan berunsur fitnah atau tidak; sama ada terdapat kebenaran dalam pembelaan defendan tentang justifikasi dalam menyokong kenyataan fitnah; sama ada kenyataan defendan adalah komen yang adil; dan sama ada defendan boleh bergantung pada pembelaan keistimewaan yang layak.

“Mahkamah menganugerahkan kos RM5,000 untuk permohonan itu. Kes itu kini akan dibicarakan,” kata peguam itu.

Shahrul menambah, mahkamah menetapkan pengurusan kes lanjut melalui dalam talian pada 3 Okt untuk kedua-dua pihak membuat persediaan untuk perbicaraan.

Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Turut diminta adalah perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil Perikatan Nasional, YouTube Astro Awani dan KiniTV.

Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah difikirkan sesuai oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu melalui prosiding dalam talian.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi media berkata hakim menolak permohonan atas alasan isu yang dibangkitkan seperti sama ada kenyataan Muhyiddin (defendan) berunsur fitnah atau tidak mesti diputuskan dalam perbicaraan.

“Kes itu kini diteruskan untuk perbicaraan. Mahkamah menetapkan 3 Okt untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya.

Mahkamah juga memberikan award kos RM5,000 kepada Muhyiddin dan ini disahkan peguamnya Rosli Dahlan.

Pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon injunksi ex-parte (sebelah pihak) supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

Ahmad Zahid juga memohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil “Perikatan Nasional”, YouTube Astro Awani dan KiniTV.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 69, berkata Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

Beliau mendakwa pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro Awani yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro Awani.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Beliau berkata ia juga membawa maksud bahawa beliau bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.