‘Utamakan skandal LCS, bukan tengkingan di KLIA’
Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menumpukan keutamaannya kepada insiden penderaan lisan oleh pegawai kanan kerajaan yang didakwa berlaku di KLIA, berbanding bertindak segera dan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, ahli parlimen Bagan itu berkata sikap berdiam diri Ismail Sabri mengenai perolehan LCS adalah gambaran yang menyedihkan tentang kekurangan pertimbangan yang bijaksana untuk membezakan antara apa yang betul dan salah serta perkara yang perlu diutamakan untuk mentadbir negara dengan baik
“Ismail Sabri tidak bertanggungjawab kerana mengutamakan insiden penderaan lisan oleh pegawai kanan kerajaan yang didakwa berlaku di KLIA, berbanding mengambil tindakan segera yang tegas dan tanpa kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam skandal LCS RM9 bilion,” katanya.
Lim berkata jawatankuasa peringkat tinggi empat anggota diketuai Peguam Negara Idrus Harun segera dibentuk selepas kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali untuk menyiasat insiden KLIA yang membabitkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan imigresen.
“Sebaliknya, Ismail Sabri setakat ini gagal membuat sebarang komen atau mengambil sebarang tindakan sejak Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh menerbitkan penemuan mereka minggu lepas untuk menuntut hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab meluluskan RM9 bilion untuk membeli enam LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard.
“Jika jawatankuasa peringkat tinggi sebegini boleh dibentuk berhubung dakwaan insiden penderaan lisan di KLIA, mengapa jawatankuasa peringkat tinggi yang serupa tidak dibentuk untuk bertindak dan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal RM9 bilion LCS?
“DAP tidak ada bantahan jika kerajaan menganggap jawatankuasa peringkat tinggi itu perlu untuk menyiasat dakwaan insiden penderaan lisan tersebut, tetapi perhatian dan kepentingan yang sama harus diberikan kepada skandal LCS apabila RM6 bilion telah dibayar tanpa mendapat satu kapal pun,” katanya.
Lim menambah, perdana menteri mesti sedar bahawa siasatan terhadap projek LCS adalah perkara kepentingan awam yang menuntut akauntabiliti dan ketelusan penuh kerana RM6 bilion telah dibayar dan mungkin lesap tanpa mendapat satu kapal pun.
“Laporan PAC mendedahkan salah guna kuasa, penipuan dan malah penyelewengan dana. RM6 bilion dana awam adalah jumlah wang yang sangat besar, dan pastinya patut sama dipandang berat jika tidak lebih berat lagi berbanding dengan insiden penderaan lisan yang didakwa berlaku.
“Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh Ismail Sabri terhadap skandal RM9 bilion LCS adalah gambaran yang menyedihkan tentang kekurangan pertimbangan yang bijaksana untuk membezakan antara apa yang betul dan salah serta perkara yang perlu diutamakan untuk mentadbir negara dengan baik,” katanya.
Pada 4 Ogos lalu, PAC menyerahkan penemuannya mengenai perolehan LCS kepada Parlimen, dengan endedahkan bahawa tiada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membayar RM6 bilion.
Menurut laporan PAC, kapal LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi ia hanya 44 peratus siap.
Laporan itu juga mengatakan pandangan tentera laut tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead.
Perolehan enam LCS telah diluluskan oleh Putrajaya pada awal 2011 berikutan permintaan yang dibuat oleh tentera laut.
Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd tanpa tender terbuka dipanggil.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bahawa ia mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal itu sebaik siasatan yang sedang dijalankan selesai.
Pada Januari, SPRM menahan dua ketua pegawai eksekutif selepas menemui petunjuk baharu dalam siasatannya terhadap perolehan LCS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai