Skip to main
Logo Malaysiakini

Penafian PDRM terlibat dengan 'troll farm' tak memadai - Kit Siang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Siasatan awam mesti dilaksanakan untuk menyiasat laporan Meta yang mengaitkan polis negara ini dengan troll farm yang beroperasi di platform media sosial milik syarikat teknologi antarabangsa itu, Facebook dan Instagram.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata penafian daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai dakwaan Meta itu tidak mencukupi dan tidak meyakinkan.

“Saya menggesa siasatan awam diketuai hakim atau bekas hakim dijalankan untuk menyiasat dakwaan serius Meta,” katanya dalam kenyataan.

Lim juga menyeru PDRM untuk menjelaskan sama ada mereka bersedia untuk bekerjasama dengan siasatan tersebut atau sebaliknya.

Siasatan berkenaan, kata veteran DAP itu, termasuklah menjemput Meta untuk mendedahkan bukti yang ada sehingga mereka boleh membuktikan troll farm tersebut ada kaitan dengan PDRM.

Untuk rekod troll farm ialah istilah yang merujuk kepada kegiatan sesuatu kumpulan yang ditubuhkan untuk cuba campur tangan membentuk pemikiran politik rakyat agar membuat sesuatu keputusan mengikut perancangan yang mereka mahukan.

Dalam laporan suku tahun Meta mengenai ancaman pembangkang, Meta berkata kira-kira 1,000 akaun Facebook dan Instagram, serta kumpulan dan halaman Facebook diketepikan dari media sosial tersebut kerana didapati melanggar dasar platform berkenaan mengenai tingkah laku tidak sahih yang terancang.

Dakwaan mesti dipandang serius

Kata Meta, syarikat itu mengetepikan 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar tersebut.

Ia mendakwa rangkaian troll itu berasal dari Malaysia dan menyasarkan pengguna domestik "untuk merosakkan atau memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai tentang siapa di belakang mereka".

Ini termasuk menyiarkan momokan dalam bahasa Melayu "untuk menyokong gabungan kerajaan semasa, dengan dakwaan rasuah dalam kalangan pengkritiknya."

"Walaupun orang di belakangnya cuba menyembunyikan identiti dan penyelarasan mereka, siasatan kami menemui ada pertalian dengan PDRM," kata Meta.

Kata Lim walaupun penyebaran maklumat salah yang disengajakan wujud sejak sekian lama, terdapat perbezaan besar mengenainya dalam era Internet sekarang.

Menurut Lim dengan teknologi moden yang ada, ia boleh memanfaatkan penipu dengan mengakses berjuta-juta orang sekelip mata dan pada masa sama diberikan ganjaran untuk usaha yang minimum itu.

“Ia akan menjadi satu penyalahgunaan yang serius dan salah guna amanah rakyat jika kerajaan atau jabatan kerajaan terlibat dalam kempen sedemikian.

"Kerajaan sebagai pemegang amanah rakyat tidak seharusnya terlibat dalam program penyelewengan sebegini dan inilah sebabnya dakwaan Meta mesti dipandang serius," kata Lim.

Dalam tempoh 50 tahun pertama kewujudan negara ini, tambahnya, terdapat sebuah badan eksekutif yang sangat berkuasa dan melemahkan pihak legislatif dan kehakiman sehingga negara ini ketinggalan di belakang satu demi satu negara lain dalam pelbagai bidang.

"Kini kelihatan seperti pihak kehakiman diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia bagi membolehkan negara kita mencapai potensinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan menamatkan semua bentuk penyalahgunaan kuasa di Malaysia," katanya.