Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Laporan punca banjir Baling 'tak lengkap', cuma huraian geologi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Laporan Bencana Banjir Baling 4 Julai, yang dikeluarkan minggu lepas "tidak lengkap" kerana tidak menyiasat bagaimana peraturan dilanggar untuk membangunkan ladang durian di Hutan Simpan Gunung Inas, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai.

Laporan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengenai punca banjir maut yang meragut tiga nyawa dan menyebabkan lebih 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, dikeluarkan pada Jumaat lalu.

"Laporan ini hanya satu huraian daripada perspektif geologi dan tidak lengkap dan tiada kronologi peristiwa kelulusan tukar guna tanah oleh kerajaan negeri Kedah dan kronologi kelulusan serta butiran Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh kerajaan persekutuan juga tidak disenaraikan.

"Laporan ini tidak membuat siasatan berkenaan dengan tukar guna tanah dan pencabulan prosedur EIA, pelanggaran peraturan serta undang-undang.

"Saya ingin menegaskan bencana banjir di Baling bukan berlaku secara semula jadi tetapi adalah satu bencana angkara manusia yang tidak menghormati alam sekitar dan undang-undang," kata Wong (gambar, atas) pada satu kenyataan hari ini.

Ahli parlimen itu berkata pokok durian Musang King tidak disenaraikan sebagai spesis pokok yang diluluskan penanaman semula untuk ladang hutan oleh Jabatan Perhutanan.

"Ini satu bukti bahawa prosedur pembukaan hutan yang melanggari undang-undang," kata Wong lagi.

Laporan berkenaan menyimpulkan bahawa bencana yang dianggarkan menelan kerugian RM25.91 juta itu disebabkan terutamanya oleh hakisan tanah dan aliran puing di tanah tinggi, yang menyebabkan serpihan mengalir ke sungai.

Laporan itu juga menyebut faktor penyebab tambahan pula ialah "kerana Kompartmen 8 Hutan Simpan Kekal seluas 5000 hektar di bahagian hulu Sungai Kupang telah dibalak dan menjadi hutan sekunder. Seluas 823 hektar daripadanya telah ditanam dengan getah dan durian."

"Perubahan guna tanah ini telah menyebabkan kadar hakisan tanah meningkat dengan tinggi.

"Longgokan bahan hakisan lama dan hakisan baharu ketika hujan lebat pada 4 Julai 2022 turut menyumbang kepada peningkatan kuantiti bahan puing yang diangkut oleh aliran puing dan banjir puing. “

'Penduduk mesti dipindah, banyak lagi banjir dijangka'

Menurut laporan itu, banjir Baling turut memusnahkan 17 rumah, 3,545 orang kehilangan tempat tinggal, merobohkan 11 jambatan dan membanjiri ratusan rumah dengan lumpur.

Bagaimanapun, Wong berkata laporan berkenaan tidak mengambil kira kesan kepada berpuluh-puluh ribu penduduk Kedah di luar Baling dan di negeri jiran Pulau Pinang, yang terputus bekalan air beberapa hari.

Ini berikutan loji rawatan air Sungai Dua ditutup, apabila air dari pintu masuk Sungai Muda menjadi berlumpur.

Wong berkata walaupun terdapat kelemahan laporan itu, 10 cadangan jangka pendek dan empat cadangan jangka panjang dalam laporan berkenaan masih perlu dilaksanakan dengan segera.

Syor langkah jangka pendek termasuk:

  • Memindahkan penduduk di dalam zon bahaya yang telah ditetapkan, kerana lebih banyak banjir dijangka dalam beberapa bulan akan datang disebabkan sungai telah menjadi sehingga dua meter lebih cetek akibat aliran puing;

  • Memasang sistem ukuran hujan automatik berhampiran puncak Gunung Inas untuk mendapatkan data masa nyata, yang boleh digunakan sebagai sistem amaran awal;

  • Menjalankan pemetaan terperinci aliran geologi Sungai Kupang dalam tempoh enam bulan;

  • Pemantauan dan penyingkiran bahan puing secara berkala termasuk batu dan serpihan kayu di hulu;

  • Menanam lebih banyak pokok dengan segera sebagai penutup tanah untuk mengelakkan hakisan selanjutnya, dan membina perangkap kelodak di kawasan ladang;

  • Membuat keputusan segera sama ada projek ladang hutan boleh diteruskan atau tidak, dan jika ya, menambah baik langkah untuk meminimumkan hakisan;

  • Melindungi sebahagian Kompartmen 8 Hutan Simpan Gunung Inas sebagai koridor hutan dan laluan hidupan liar; dan

  • Latihan membina kapasiti tempatan dan di kalangan agensi teknikal untuk menangani bencana serupa.

Syor langkah jangka panjang termasuk:

  • Menubuhkan pusat penyelidikan nasional mengenai bencana geologi yang akan menjadi sumber utama untuk menyiasat dan menangani bencana geologi, serta untuk menyediakan siasatan forensik dengan segera sekiranya berlaku bencana;

  • Mewujudkan program kebangsaan untuk memetakan aliran puing dan kawasan berisiko bencana serupa, serta membangunkan langkah-langkah mitigasi;

  • Membangunkan sistem pemantauan masa nyata dan amaran awal untuk bencana tersebut; dan

  • Membangunkan kawasan berisiko bencana geologi dengan cara yang tidak memburukkan lagi risiko, antaranya dengan menggunakan kawasan berkenaan bagi tujuan ekopelancongan dan pemuliharaan.

    "Pembangunan prasarana pelbagai fungsi ini hanya boleh dilakukan selepas pemetaan terperinci bencana geologi serta perlu mesra masyarakat dan mesra alam sekitar," kata laporan itu.