Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu KVDT2: Loke gesa Wee dan Zafrul 'telan balik air liur'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata jawapan bertulis parlimen Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada 3 Ogos membuktikan keputusan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengenai projek Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa 2) (KVDT2) tidak salah.

Loke merujuk kenyataan Wee yang memaklumkan kerajaan melantik kontraktor yang sama dengan harga yang sama bagi projek itu.

Justeru, Loke menggesa Wee dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz "telan balik air liur" selepas kritikan mereka terhadap PH berhubung projek itu.

"Jawapan Wee menunjukkan bahawa kerajaan melantik kontraktor yang sama pada tanda harga yang sama," kata Loke.

“Saya minta Zafrul dan khususnya Wee, telan balik air liur mereka, mereka cakap terlalu besar, kononnya juara open tender, PH yang bagi rundingan terus, harga terlalu tinggi dan sebagainya,” katanya.

Dalam jawapannya pada 3 Ogos, Wee menulis bahawa projek KVDT2 akan diteruskan dengan kos dikekalkan pada RM4.475 bilion, dan Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd telah diberikan surat setuju terima (SST) pada 29 Julai.

Loke menegaskan bahawa kos RM4.475 bilion dikekalkan walaupun Wee menyatakan pada 20 Ogos 2020, bahawa harga itu terlalu mahal.

Pada bulan yang sama, Zafrul berkata projek KVDT2 yang dianugerahkan kepada Dhaya Maju LTAT adalah antara 101 projek yang dianugerahkan secara rundingan terus semasa era PH.

Loke turut mengingatkan bahawa pentadbiran BN menganugerahkan projek KVDT2 pada harga RM5.2 bilion pada 5 April 2018, sehari sebelum perdana menteri Najib Abdul Razak membubarkan Parlimen dan membuka laluan kepada PRU14.

Dia berkata pemimpin MCA Liow Tiong Lai adalah menteri pengangkutan ketika itu.

Tambah Loke, selepas mengambil alih kerajaan susulan kemenangan dalam PRU14, PH tidak mempunyai pilihan selain berpegang kepada perjanjian antara kerajaan persekutuan dan kontraktor kerana surat setuju terima (SST) diberikan kepada DM-LTAT.

Walaupun ia bukan perjanjian rasmi yang dimeterai antara kedua-dua pihak, Loke berkata surat itu masih boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang, dan berisiko mempunyai implikasi undang-undangnya sehingga kerajaan mungkin perlu membayar pampasan RM3 bilion sekiranya kontrak itu ditamatkan.

Loke bagaimanapun berkata kerajaan PH berjaya menurunkan tanda harga kepada RM4.475 bilion daripada RM5.2 bilion.

Zafrul pada Ogos 2020 berkata 101 kontrak telah diberikan melalui proses rundingan terus semasa PH dan KVDT 2 adalah yang terbesar dari segi nilai.

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan berjanji untuk membuka semula tender bagi projek itu.

Ini mendorong DM-LTAT, usaha sama antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), memfailkan saman dalam usaha untuk memutuskan penamatan kontrak sebagai batal dan tidak sah.

DM-LTAT dan Putrajaya mencapai penyelesaian di luar mahkamah selepas kabinet memutuskan pada 18 Mei untuk membenarkan syarikat itu meneruskan projek berkenaan.