Skip to main
Logo Malaysiakini

China umum latihan ketenteraan berterusan sekitar Taiwan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL l China mengumumkan latihan ketenteraan baru pada hari Isnin di perairan dan ruang udara sekitar Taiwan - sehari selepas latihan terbesar yang pernah dilakukannya dijadualkan berakhir. Latihan bermula Khamis lalu, sehari selepas lawatan kontroversi ke pulau itu oleh Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi.

Menurut Komando Timur China, ia akan menjalankan latihan bersama yang memberi tumpuan kepada operasi anti-kapal selam dan serangan laut - mengesahkan kebimbangan beberapa penganalisis keselamatan dan diplomat bahawa Beijing akan terus mengekalkan tekanan ke atas pertahanan Taiwan.

Lawatan Pelosi ke Taiwan minggu lalu menimbulkan keberangan China, yang menganggap pulau yang diperintah sendiri itu sebagai miliknya dan bertindak balas dengan pelancaran ujian peluru berpandu balistik ke atas Taipei buat kali pertama, serta menghentikan beberapa siri dialog dengan Washington.

Tempoh dan lokasi tepat bagi latihan terbaharu itu belum diketahui, tetapi Taiwan telah melonggarkan sekatan penerbangan berhampiran enam kawasan latihan China sebelum ini di sekitar pulau itu.

Sejurus sebelum latihan terbaharu diumumkan, Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berjumpa dengan Perdana Menteri St Vincent dan Grenadines, Ralph Gonsalves, yang datang melawatnya. Katanya, dia terharu dengan keazaman pemimpin itu untuk melawat negara berkenaan walaupun terdapat tekanan daripada tentera China.

"Perdana Menteri Gonsalves telah menyatakan dalam beberapa hari kebelakangan ini bahawa latihan ketenteraan China tidak akan menghalangnya daripada melawat rakan-rakan di Taiwan. Kenyataan ini sangat menyentuh kami," kata Tsai pada majlis sambutan kepada Gonsalves di Taipei.

Tidak jelas sama ada Tsai menjemput Gonsalves sebelum atau selepas lawatan Pelosi.

"Kami tidak mendedahkan perancangan dalaman atau komunikasi antara kerajaan," kata kementerian luar Taiwan ketika ditanya oleh Reuters.

Di sebalik penembakan 11 peluru berpandu balistik jarak dekat semasa empat hari latihan awal, kapal perang China, jet pejuang dan dron bergerak secara meluas di sekitar pulau itu.

Sejurus sebelum latihan itu berakhir pada Ahad, kira-kira 10 kapal perang setiap satu dari China dan Taiwan bergerak secara dekat di sekitar garis tengah tidak rasmi Selat Taiwan, menurut seseorang yang biasa dengan situasi itu yang terlibat dengan perancangan keselamatan.

- Reuters

[Baca berita penuh]