Skip to main
Logo Malaysiakini

LCS tak siap: Pemuda Amanah Perak mahu k'jaan negeri adu ke polis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendedahan mengenai gagalnya kapal tempur pesisir (LCS) disiapkan seperti sepatutnya bukan saja memalukan negara, malah mencemar imej pihak istana, kata Pemuda Amanah Perak.

Justeru ketuanya Khairol Najib Hashim menggesa kerajaan Perak membuat laporan polis mengenai isu tersebut.

Turut wajar mengambil tindakan sama, katanya, ialah menteri besar Perak ketika itu, Zambry Abdul Kadir.

"Penipuan tersebut jelas telah mencemar institusi diraja Perak khasnya dan sangat tidak wajar berlaku.

"Apa pun penjelasan yang telah serta bakal diberikan, ia tetap tidak mampu menidakkan bahawa upacara penamaan dan pelancaran kapal LCS tersebut sudah dilakukan," katanya hari ini.

Khairol Najib juga mendesak semua pihak yang terlibat membuat permohonan maaf secara terbuka atas kejadian tersebut.

Isu kegagalan enam unit LCS disiapkan menjadi perhatian ramai sejak hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) didedahkan di parlimen minggu lalu.

Khairol Najib Hashim

Siasatan badan tersebut mendapati ada banyak kelemahan yang berlaku, termasuk keengganan pihak yang berkenaan menerima pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sebalik hakikat bahawa mereka adalah pengguna akhir LCS tersebut.

Beberapa nama dikaitkan dengan isu berkenaan, termasuk Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu, dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai menteri pertahanan.

Semalam TLDM berkata mereka menyokong sebarang usaha siasatan yang dibuat berhubung ketirisan projek LCS seperti dikemukakan PAC pada 4 Ogos lalu.

TLDM sokong siasatan

Menurut pasukan keselamatan itu, LCS merupakan perolehan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara dan mereka perlu memiliki keupayaan tempur sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

"Justeru, TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan dalam projek ini disiasat dan pihak yang terbukti terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan seberapa segera," katanya.

Khairol Najib berkata pendedahan PAC itu sangat mengejutkan kerana majlis pelacaran 'LCS' berkenaan - pada 24 Ogos 2017 - berlangsung dengan membabitkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

"Pada majlis tersebut diumumkan sebuah LCS bernama KD Maharajalela telah siap dan dilancarkan di Pengkalan TLDM di Lumut sedangkan hakikatnya ia adalah satu penipuan.

"Ia bukan saja memalukan sistem pertahanan Malaysia bahkan kepada mencemar institusi diraja," katanya.