Skip to main
Logo Malaysiakini

Petualang skandal LCS hanya dapat didedahkan melalui RCI - Bersatu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersatu hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata petualang sebenar di sebalik skandal itu hanya akan dapat didedahkan melalui RCI yang telus dan berwibawa.

“Hanya melalui RCI yang telus dan berwibawa maka petualang di sebalik skandal ini akan dapat didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi.

"RCI ini akan memastikan ketelusan dalam siasatan, dan tiada apa-apa disembunyikan oleh mereka yang bersekongkol dengan rasuah dan perasuah.

"Saya juga menyokong tindakan SPRM menyiasat perkara ini. SPRM mesti diberikan kebebasan dan kuasa untuk menyiasat sepenuhnya.

"Apa yang membimbangkan ialah ‘tangan-tangan ghaib’ di sebalik skandal ini sedang cuba mengelak dan enggan bertanggungjawab ke atas skandal ini,” katanya dalam kenyataan.

Projek LCS menjadi tumpuan selepas hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selama dua tahun dan sembilan prosiding didedahkan di parlimen minggu lalu.

PAC dalam laporannya mendedahkan bahawa tiada satu pun kapal telah disiapkan walaupun kerajaan telah membayar sebanyak RM6 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.

Menurut laporan PAC, kapal LCS pertama sepatutnya diserahkan pada 2019 tetapi hanya siap 44 peratus.

Kajian daya maju oleh kerajaan terhadap BNS juga gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pendahuluan RM1.36 bilion kepada BNS.

PAC juga mendedahkan bahawa BNS masih berhutang dengan 600 pembekal bagi projek berkenaan.

Selain itu PAC melaporkan bahawa pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pemerolehan kapal berkenaan.

Beberapa nama dikaitkan dengan isu itu, termasuk bekas menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

"Jika tiada siasatan telus yang dijalankan, skandal pembelian LCS ini akan menjadi salah satu skandal mega sebagaimana 1MDB yang telah mencemarkan nama negara di mata dunia dan mengaitkan Malaysia dengan skandal korupsi.

"Lebih buruk lagi jika ada usaha secara aktif untuk menyembunyikan apa-apa salah laku," tambah Wan Saiful.