Penganalisis: PKR mahu mudahkan selaras strategi, gerak kerja
Langkah PKR melantik barisan pimpinan tertinggi untuk mengetuai parti terbabit di peringkat negeri dilihat sebagai eksperimen baru bagi memudahkan penyelarasan strategi dan gerak kerja.
Penganalisi politik Mazlan Ali berkata pelantikan pimpinan yang sama untuk mengetuai beberapa negeri juga membolehkan strategi dilaksanakan dengan lebih licin.
"Ia satu strategi, kalau dilantik banyak orang (seperti sebelum ini) mungkin sukar untuk parti terbabit menyelaraskan strategi dan gerak kerja.
"Jadi dengan menggunakan orang sama, ketika mahu mengimplimentasikan strategi itu boleh dilakukan dengan berkesan dan lancar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Terdahulu Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan pengerusi-pengerusi negeri yang akan dipimpin oleh pimpinan pusat.
Antara yang tersenarai Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang mengetuai serentak PKR Johor dan Wilayah Persekutuan, manakala PKR Kelantan dan Terengganu diketuai naib presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dua lagi naib presiden iaitu Amirudin Shari mengetuai PKR Selangor dan Pahang, manakala dan Aminuddin Harun mengemudi Negeri Sembilan dan Melaka.
Mazlan yang juga penyarah kanan di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, langkah diambil PKR itu juga dilihat dapat mengurangkan politiking di peringkat negeri.
"Kadang-kadang kalau lantik pimpinan tempatan akan timbul politiking di peringkat negeri. Ia akan menyebabkan srategi sukar untuk digerakkan selain boleh mengelak sentimen berpuak-puak dan cah keting (sabotaj).
"Pelantikan pemimpin dari pusat ini mudah diterima oleh akar umbi. Ada track record kalau letak orang tempatan akan timbul isu-isu seperti cah keting (sabotaj)," katanya.
Tambah Mazlan, pun begitu PKR perlu menggunakan pendekatan baru dengan perubahan pimpinan utama selepas prestasi buruk dipamerkan dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.
"Perubahan pendekatan PKR ini bukan perkara pelik sebaliknya ia langkah yang seharusnya diambil.
"Pendekatan ini penting untuk tingatkan perpaduan antara ahli parti dan penyokong, dan yang penting pimpinan di peringkat negeri menerima lantikan yang dibuat," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai