Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim gesa Hisham nyah rahsia laporan j'kuasa tentang LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Veteran DAP Lim Kit Siang mencabar Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein untuk menyokong ikrarnya bagi menegakkan ketelusan agar menunjukkan laporan kerajaan mengenai skandal pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS) kepada umum.

Cabaran tersebut dibuat ahli parlimen Iskandar Puteri itu susulan jaminan Hishammuddin di Dewan Negara semalam bahawa Kementerian Pertahanan akan melaporkan perkembangan pembinaan kapal berkenaan secara berperingkat kepada Kabinet dan orang awam.

Projek LCS telah mendapat perhatian awam selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya yang menunjukkan banyak masalah dalam projek tersebut.

Lim berkata sekiranya Hishammuddin benar-benar telus, dia harus memenuhi syor pertama PAC, iaitu menyahrahsia laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus Awam, Perolehan dan Kewangan (JKUSTUPKK) yang diketuai oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang.

Lim Kit Siang

"bolehkah Hishamuddin menyatakan sama ada dia bersetuju dengan cadangan untuk nyah rahsia laporan JKUSTUPKK ini dan sama ada dia bercadang untuk melaksanakannya.

"Pelaksanaan cadangan pertama PAC untuk nyah rahsia laporan JKUSTUPKK ini akan menjadi ujian pertama komitmen Hishamuddin terhadap perkara ini," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Lim turut menyatakan sokongan terhadap gesaan Bersatu agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal LCS.

Lim berkata Bersatu mempunyai sembilan menteri kabinet dan mereka perlu menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk berbuat demikian.

Kabinet akan bermesyuarat esok.

Untuk rekod, perolehan enam kapal tempur LCS diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada awal 2011 berikutan permintaan yang dibuat TLDM.

Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara terus tanpa tender terbuka.

Kontrak itu berkuat kuasa pada 3 Oktober 2013 dan akan tamat pada 2 Oktober tahun depan.

Bagaimanapun pada 4 Ogos lalu, PAC yang meneliti pengendalian projek LCS mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6 bilion walaupun tiada satu pun kapal yang siap.

LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan PAC.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima TLDM tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS.