Skip to main
Logo Malaysiakini

Asakan peguam Lim - Saksi utama dakwa jantung berdebar kencang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendakwa doktornya memaklumkan bahawa dia menghidap tekanan darah tinggi dan jantungnya berdebar kencang.

Saksi utama pendakwaan itu berkata demikian ketika cuba memohon pemeriksaan balas oleh peguam bela semasa perbicaraan rasuah hari ini terhadap Lim Guan Eng mengenai Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion ditangguhkan.

Ketika diasak oleh peguam tertuduh, Gobind Singh Deo, Zarul Ahmad cuba mengelakkan diri daripada perbicaraan yang diadakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Gobind ketika itu sedang menyoal balas saksi pendakwaan ke-23 mengenai sebab dia memberikan RM19 juta kepada ahli perniagaan G Gnanaraja.

Bagaimanapun, semasa prosiding di hadapan hakim Azura Alwi, Zarul Ahmad tidak menjawab dan terus mengulangi dia hanya mahu wangnya dikembalikan.

Sebelum ini, saksi mendakwa dia membayar RM19 juta kepada Gnanaraja - yang didakwa sekutu rapat perdana menteri ketika itu Najib Razak - untuk menyampaikan wang rasuah kepada ketua menteri Pulau Pinang ketika itu.

Pada 3 April 2019, di hadapan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Gnanaraja didakwa memperdaya Zarul untuk membayar RM19 juta kepadanya berhubung projek itu.

Gnanaraja didakwa menipu Zarul bahawa dia mampu menggunakan hubungan politiknya untuk menutup kes penyiasatan SPRM berhubung projek itu.

Suasana di mahkamah mula panas semasa Gobind dan Zarul mula berbalah.

Saksi itu kemudian mengakui bahawa dia meminta peguamnya menulis surat tuntutan kepada Gnanaraja untuk mendapatkan pemulangan RM19 juta itu.

Bagaimanapun, apabila disoal Gobind mengenai tujuan sebenar RM19 juta itu diberikan kepada Gnanaraja dan sama ada ia benar-benar pecah kontrak atau dipegang atas amanah, Zarul tidak menjawab dan mengulangi dia hanya mahu wangnya dikembalikan.

Zarul: Yang Arif, saya perlu dimaafkan, saya rasa tidak sihat.

Gobind: Kamu datang ke mahkamah (pagi ini).

Zarul: Timbalan pendakwa raya yang minta saya datang, minta maaf.

Azura: Apa yang doktor diagnos (semasa pemeriksaan semalam)?

Zarul: Tekanan (darah) saya naik, jantung berdebar-debar, dia (doktor) suruh saya jumpa pakar.

Gobind: Jika kamu perlu bantuan perubatan, saya tiada bantahan, cuma biar saya selesaikan (pemeriksaan balas saya).

Pada ketika ini, hakim Azura membenarkan mahkmah ditangguhkan seketika.

Gobind Singh Deo (kiri)

Apabila prosiding bersambung, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata mereka telah menyerahkan kepada mahkamah sesalinan surat doktor berkenaan keadaan kesihatan saksi.

Gobind: Kamu okay untuk kita teruskan?

Zarul: Boleh saya berehat hari ini? Saya benar-benar tidak sihat.

Azura kemudian menangguhkan prosiding ke pagi esok.

Lim, 61, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Lim Guan Eng

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

[Baca berita penuh]