Skip to main
Logo Malaysiakini

Marzuki tolak dakwaan krisis kepimpinan Pejuang Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air Marzuki Yahya menolak dakwaan terdapat krisis kepimpinan parti itu di Johor.

"Saya tidak dimaklumkan soal itu. 

“Mungkin itu hanya daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri,” kata Marzuki melalui khidmat pesanan teks.

Sebuah portal berbahasa Inggeris semalam melaporkan bahawa Ketua Pejuang Johor Shahruddin Md Salleh akan meletakkan jawatan susulan desakan dalaman.

Shahruddin Md Salleh

Kepimpinan Shahruddin dipertikai setelah Pejuang kalah teruk dalam pilihan raya negeri Mac lalu.

Menjawab soalan Malaysiakini sebentar tadi, dia menegaskan bahawa fokus Pejuang untuk untuk mempersiapkan diri hadapi PRU15 tidak berubah.

Laporan portal berbahasa Inggeris itu difahamkan beberapa ahli kepimpinan Pejuang Johor didakwa cuba menyingkirkan Shahruddin berikutan ketidakcekapan dalam mengemudi kepimpinana parti negeri itu.

Sumber kepimpinan pusat yang dipetik portal terbabit juga berkata bahawa beberapa ahlinya yang menggelarkan diri mereka sebagai "Penggerak Akar Umbi Pejuang Johor" tidak berpuas hati dan telah bertemu dengan pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dua kali di Putrajaya .

Sentimen terhadap Shahruddin dan pegawai-pegawainya semakin memuncak awal tahun ini berikutan kegagalan Pejuang Johor meyakinkan pengundi untuk memilih calon dari parti Pejuang.

Difahamkan, kira-kira 11 daripada 26 ketua kawasan parlimen Pejuang di Johor telah menandatangani petisyen meminta Shahruddin diganti.