Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Asli dan kemelut perundangan tak berkesudahan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hari ini merupakan Hari Orang Asli Sedunia dan Malaysia adalah antara banyak negara yang merayakan kebudayaan orang asal ini.

Namun bagi 18 kumpulan Orang Asli di semenanjung dan banyak lagi di Malaysia Timur, tidak banyak yang berubah dari segi kedudukan dalam undang-undang dan tahap kehidupan mereka.

Masyarakat ini berdepan masalah jangka hayat rendah, akses untuk penjagaan kesihatan, bekalan air dan eleterik serta tahap pendapatan dan pendidikan yang rendah. Masalah ini kian memburuk di saat penularan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

Ada sejumlah sebab mengapa masalah ini masih kekal dan di tengah-tengahnya adalah isu hak tanah adat Orang Asli. Hak tanah adat adalah kunci untuk menjamin masa depan mereka tetapi hak ini sering dicerobohi.

Ia di sebalik kewujudan awal nenek moyang mereka di semenanjung, sebelum wujudnya kesultanan-kesultanan Melayu.

Tanah Orang Asli secara tradisionalnya subur tetapi dengan persempadanan yang lemah, menyebabkan ia menjadi sasaran mudah untuk syarikat pemaju.

Apabila mereka mengambil jalan undang-undang untuk mempertahankannya, sering kali mereka perlu berdepan dengan kerajaan negeri, kerabat diraja, jabatan perhutanan, syarikat pemaju dan pihak berkuasa.

Hak tanah: Satu masalah berlanjutan

Menurut pakar perundangan Orang Asli Bah Tony (Amani Williams-Hunt), masalah utama adalah tiadanya pengiktirafan yang wajar terhadap hak tanah Orang Asli.

"Perkara 134 Perlembagaan Persekutuan merangkumi pewartaan kawasan Orang Asli sebagai tanah Orang Asli atau rizab Orang Asli tetapi ia terletak kepada budi bicara kerajaan negeri, kerana tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

"Memandangkan ayat dalam perkara itu tidak menjadikannya sebagai mandatori, kerajaan negeri boleh pilih sama ada mereka mahu lindungi kawasan Orang Asli atau tidak," katanya kepada Malaysiakini.

Bah Tony

Dia berkata kerajaan negeri mungkin berpendapat lebih bermanfaat jika tanah itu digunakan untuk memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada negeri, berbanding memperuntukkannya kepada Orang Asli.

Tanah mereka digunakan untuk perladangan, perlombongan, pembalakan dan pembangunan lain, menyebabkan mereka terputus daripada bekalan di hutan yang sekian lama menjadi tempat bergantung.

Bagi Bah Tony, tiada ahli politik yang melihat keadaan itu sebagai perlu diperbaiki segera.

"Mereka bukan menuntut tanah daripada orang lain tetapi tanah yang memang kawasan tradisi mereka. Banyak juga kumpulan Orang Asli yang hidup berpindah-randah dan ia stu lagi sebab yang membawa kepada kekeliruan. Mereka tinggal di kawasan berbeza mengikut musim," katanya lagi.

Katanya lagi, setiap kali kerajaan negeri membuka kawasan tanah yang luas untuk apa saja projek, ia mengancam kedudukan masyarakat itu.

"Tiada yang kekal berhubung tanah Orang Asli. Ia sentiasa boleh dibatalkan oleh kerajaan negeri dan saya faham di Selangor, seperti ada kes di mana kawasan Orang Asli dibatalkan pada masa lalu," katanya lagi.

Saman masyarakat Temiar di Gua Musang

Antara kes yang paling mengundang perhatian kebelakangan ini adalah saman kerajaan PH terhadap kerajaan Kelantan bagi pihak Orang Asli, berhubung tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang pada Januari 2019.

Peguam negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan kerajaan persekutuan telah memfailkan tindakan undang-undang demi menjaga kebajikan Orang Asli yang membuat bantahan terhadap apa yang disifatkan sebagai pencerobohan ke atas tanah adat mereka.

Pada 20 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menafikan permohonan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman itu.

Ketika itu, mahkamah memutuskan ia ada kuasa untuk mendengar tindakan undang-undang yang menyasarkan kerajaan negeri, serta pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Kelantan, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta lima lagi entiti swasta.

Saman itu memohon mahkamah mengiktiraf hak tanah adat komuniti Temiar di Pos Simpor serta mengeluarkan injunksi untuk menghalang entiti swasta daripada masuk ke kawasan itu.

Sebelum itu, masyarakat itu sudah sekian lama berjuang melawan kemasukan pembalak termasuk membina penghalang, yang akhirnya diruntuhkan oleh pihak berkuasa atau pihak swasta.

Namun, rayuan kerajaan negeri di peringkat Mahkamah Rayuan berjaya mengenepikan saman itu.

Susulan pertukaran kerajaan pada 2020, peguam negara baru Idrus Harun memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu.

Bah Tony berkata kerajaan perlu mula melindungi tanah Orang Asli, termasuk menerusi pindaan akta atau pewartaan akta baru yang benar-benar melindungi masyarakat itu.

Katanya lagi, lima tahun lalu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah memulakan penelitian terhadap kemungkinan meminda Akta Orang Asli (Akta 134) namun sehingga kini masih belum menyelesaikannya.

"Kami merasakan, 'wah, lima tahun tempoh yang cukup, cukup lama untuk buat kajian'.

"Semau pihak, termasuk NGO dan universiti, pada masa lalu mencadangkan apa pindaan yang perlu dibuat. Saya tak fikir kajian patut ambil masa selama itu. Mereka sepatutnya teliti cadangan dan buat pindaan sewajarnya.

"Melainkan moratorium (pengambilan) tanah Orang Asli dikenakan, tanah itu akan terus dicerobohi. Dalam masa lima tahun, saya tak tahu berapa banyak lagi tanah Orang Asli akan hilang," katanya.

Tragedi Pos Tohoi

Bukan semua kes perundangan melibatkan tanah. Antara kes paling tragik adalah tragedi tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang di Pos Tohoi, Gua Musang pada 23 Ogos 2015.

Tujuh kanak-kanak itu dikatakan lari dari sekolah mereka - SK Pos Tohoi - kerana takut menerima hukuman kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua daripada mereka, Noreen Yaakob and Miksudiar Aluj, ditemukan dalam keadaan yang cukup lemah pada 9 Oktober 2015 - iaitu 47 hari selepas mereka didapati hilang.

Salah satu halangan yang dibina Orang Asli Temiar

Lima lagi, iaitu Haikal yang berusia sembilan tahun dan Ika Ayel (9) Juvina David (7) Linda Rosli (8) dan Sasa Sobrie (8) meninggal dunia ketika berada di dalam hutan.

Kecuali mayat Sasa, empat mayat yang lain yang berjaya ditemukan ditanam di kubur sama di Kampung Penad, Gua Musang, pada 25 Okt 2015.

Pada 13 Ogos 2018, saman difailkan terhadap kerajaan, Kementerian Pendidikan, pegawai dari Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan polis, termasuk pegawai yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.

Menurut peguam dan aktivis hak Orang Asli Siti Kasim, keluarga yang terkorban antara lain menuntut pampasan atas dakwaan kelalaian pihak berkuasa. Mereka juga menuntut pengisytiharan untuk menegakkan hak pendidikan kanak-kanak dan masyarakat Orang Asli.

Pada mulanya, perbicaraan ditetapkan pada 12 hingga 16 Jun tahun ini. Ia ditangguh selepas hakim mengarahkan mediasi dibuat.

Siti Kasim memberitahu Malaysiakini bahawa semua pihak kini kembali mengadakan perbincangan.

"Kami mahukan pengisytiharan yang kami tuntut. Tetapi ia sepatutnya secara 'global' iaitu dilaksanakan di semua sekolah.

"Tuntutan pengisytiharan perlu terpakai kepada semua sekolah yang melibatkan murid Orang Asli," katnaya.

Pada masa ini, katanya, pengisytiharan itu terhad untuk kes Pos Tohoi.

Jika defendan menolak cadangan mahkamah, kes itu akan dibicarakan pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Dengan mengambil kira tujuh tahun telah berlalu, entah berapa lama lagi pihak keluarga perlu menunggu untuk mendapat keadilan.

Perjuangan berdekad Orang Asli Seletar

Pertembungan antara Orang Asli Seletar di Stulang Laut, Johor dan kerajaan negeri adalah contoh klasik perjuangan yang dihadapi mereka.

Orang Laut Seletar adalah antara 18 suku Orang Asli di Malaysia dan kes ini bermula sejak Disember 1993. Ketika itu, mereka dipaksa untuk berpindah dari Stulang Laut ke Kuala Masai untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Tanah yang pernah didiami mereka kini adalah tapak kepada pusat membeli-belah The Zon.

Pada 2005, mereka memfailkan saman terhadap kerajaan susulan berlakunya beberapa insiden, termasuk perobohan gereja yang dibina suku itu di sekitar Kuala Masai.

Selepas berjuang selama lebih sedekad, mereka menerima pampasan berjumlah RM5.2 juta bagi pengusiran yang berlaku 27 tahun yang lalu.

"Kerajaan negeri berkata apabila (Orang Seletar) dipindahkan, mereka diberi tanah. Memang betul. Mereka tidak dibiarkan begitu saja tetapi tanah itu jauh berbeza dengan apa yang mereka nikmati (di kawasan asal) selama berdekad di tengah-tengah Johor Bahru," kata peguam Tan Poh Lai ketika dihubungi.

Tan berkata sejumlah faktor diambil kira dalam pampasan akhir yang diberikan.

"Ia hanya lebih RM5 juta, tetapi sekurang-kurangnya itu nilai yang bermakna kerana sebelum ini, mereka (kerajaan negeri) ingin capai penyelesaian dengan jumlah yang sedikit dan kami menolaknya.

"Hakikatnya, mereka lawan bermati-matian dan malah enggan patuhi arahan mahkamah yang dikeluarkan sekitar 11, 12 tahun lalu," katanya.

Katanya lagi, perwakilan yang baik amat penting dalam semua kes, terutama bagi kes yang berlanjutan sekian lama.

"Ini bukan perkara yang mudah kerana mereka (Orang Asli) bukan dalam kedudukan untuk mengambil peguam, jadi peguam perlu mewakili mereka secara sukarela.

"Dan untuk jumpa dengan peguam-peguam seumpama ini sentiasa mencabar, terutama kes-kes ini memakan masa banyak tahun," katanya lagi sambil memaklumkan kes Orang Asli Seletar memakan masa sehingga 14 tahun.

Mengulas perkara sama, Bah Tony berkata kos perundangan sering menjadi penghalang kepada Orang Asli untuk diwakili dalam undang-undang.

"Orang Asli adalah komuniti miskin. Bawa kes ke mahkamah perlukan wang. Tak ramai di kalangan mereka yang mampu.

"Kebanyakan peguam yang mewakili Orang Asli melakukannya secara pro bono," katanya lagi.

[Baca berita asal]