Wong: Apa yang dimaksudkan Zahid PAC tak sensitif?
Sehari selepas 'dinasihatkan' oleh Ahmad Zahid Hamidi agar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) lebih sensitif, badan penyemak imbang kerajaan itu bertanya semula kepada presiden Umno terbabit.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata dia tidak pasti maklumat yang mana satukah dianggap Ahmad Zahid sebagai tidak sensitif.
Kata Wong, PAC - yang dianggotai ahli parlimen pelbagai parti termasuk wakil kerajaan - sekadar melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan parlimen semasa menjalankan siasatan berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi memastikan perbelanjaan wang rakyat terpelihara.
Semua saksi yang dipanggil memberi keterangan di depan PAC, tambah Wong, tahu bahawa segala maklumat yang dinyatakan dalam prosiding berkenaan direkodkan dalam rakaman percakapan bertulis (hansard).
Malah kata ahli parlimen Ipoh Timur itu lagi, Ahmad Zahid sendiri menjadi antara individu yang dipanggil memberi keterangan berhubung projek LCS berkenaan pada 25 Okt tahun lalu.
Pada tarikh itu, kata Wong, Ahmad Zahid hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abdul Aziz.
Hansard Ahmad Zahid, katanya, diserahkan kepada bekas menteri pertahanan itu melalui pos berdaftar pada 4 Jan 2021 berdasarkan peraturan yang ada dan dia diberikan tempoh masa tujuh hari untuk membuat sebarang pembetulan - jika ada - pada kenyataan yang diberikan.
"Untuk rekod, Ahmad Zahid tidak membuat sebarang pindaan, pembetulan atau pemotongan terhadap mana-mana maklumat yang diberikan dalam prosiding yang dia hadiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jika ada sebarang maklumat yang dirasakan wajar dipotong atau dipinda, ia boleh dicadangkan dan PAC akan berbincang sama ada menerima permohonan tersebut atau sebaliknya selepas mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara,
"Dalam prosiding kapal LCS, tidak ada mana-mana saksi-saksi yang mengemukakan permohonan sebegini," katanya lagi.
Tak boleh guna sewenang-wenangnya
PAC mengeluarkan laporan mengenai pemerolehan LCS yang mengejutkan ramai pihak apabila didapati tiada satu pun kapal tersebut berjaya disiapkan di sebalik peruntukan besar yang disediakan.
Malah berdasarkan keterangan dalam PAC, saranan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak diendahkan sama ada oleh menteri atau syarikat yang diberikan kontrak membina LCS.
Ahmad Zahid merupakan merupakan menteri pertahanan ketika itu manakala Najib Razak berkhidmat sebagai perdana menteri.
Semalam Ahmad Zahid menyeru PAC "lebih sensitif" mengendalikan keseluruhan proses siasatan tersebut, khususnya, dakwa ahli parlimen Bagan Datuk itu, kerana ia membabitkan isu keselamatan negara dan masih di peringkat siasatan.
Wong berkata PAC pernah mengeluarkan atau memadamkan kenyataan yang diberi di depan badan itu apabila berpuas hati ia wajar dilakukan.
Katanya ia dibuat dalam siasatan PAC mengenai pemerolehan vaksin Covid-19 dan mendapat permohonan daripada Khairy Jamaluddin yang ketika itu menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi.
Tindakan sama, katanya, juga dilakukan PAC semasa meneliti isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan dan melibatkan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, serta Muez pada 1 Dis tahun lalu.
"PAC menghormati keperluan untuk menjaga sensitiviti keselamatan negara.
"Namun, selaku pengerusi, saya tidak akan membenarkan nama keselamatan negara digunakan sewenang-wenangnya untuk menyekat rakyat daripada mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang negara," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai