Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 3 individu kes pukul pengerusi NGO

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis menahan tiga individu semalam berkaitan kes seorang pengerusi NGO yang diserang selepas membuat laporan SPRM berhubung kes penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya).

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tiga lelaki tersebut.

"Pada 7 Julai pihak polis Kajang telah menangkap tiga lelaki India berumur lingkungan 35 hingga 46 tahun serta merampas tiga buah telefon bimbit.

"Semua suspek masih dalam tahanan reman sehingga 11 Ogos 2022 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda atau sebat, atau kedua-duanya sekali," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 27 Julai, dalam kejadian 1.40 petang di sebuah hotel di Kajang, Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) Mani Maran Manickam diserang dari belakang oleh seorang individu tidak dikenali.

Mani Maran berkata dia menerima 16 jahitan di leher dan serangan dipercayai menggunakan pisau cukur.

Dia mendakwa serangan tersebut berkaitan dengan laporan SPRM yang dibuat olehnya.

Mani Maran juga dilaporkan diserang kali kedua pada 5 Ogos lalu dan cedera pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh pisau.

Sementara itu Zaid meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhamad Ali bin Hamzah di talian 019-8660324 bagi membantu siasatan.