Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Lutfi, aktivis media di sebalik kejatuhan 2 MB Selangor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahmad Lutfi Othman, satu nama besar dalam dunia kewartawanan. Ketika bekas bos saya di Harakah, Hishamudin Yahaya mahu mencari seorang ketua pengarang Harakah yang baharu selepas Suhaimi Mokhtar pada tahun 2007, saya mencadangkan nama Lutfi.

Bagi saya Lutfi adalah pengarang politik pro-PAS yang terbaik untuk jawatan itu, ketika saya sendiri terikat dengan akhbar Siasah dan Harakahdaily.

Pemergian Lutfi pada hari Arafah, 9 Julai awal pagi Sabtu lalu ketika genap usianya 59 tahun, satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan bebas. Lutfi meninggal pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-59 selepas menderita sakit kencing manis, buah pinggang dan juga jantung.

Sebagaimana pada hari kematian Subky Latif dan A Shukur Harun, dua orang tokoh media yang rapat dengan saya, saya juga tidak sempat menziarahi jenazah Lutfi kerana saya berada di Kuala Terengganu ketika itu ekoran kematian abang ipar saya.

Kali terakhir saya berjumpa beliau adalah pada 6 Jun 2022 yang lalu ketika beliau masih mendapat rawatan di Pusat Jantung, Hospital UiTM, Sungai Buluh, lebih sebulan sebelum beliau meninggal dunia. ketika itu, pakar jantung di UiTM bercadang untuk membuat pembedahan jantung ke atas Lutfi, kali kedua selepas pembedahan pintasan jantungnya yang pertama.

"Zul, ada ambil gambar tak tadi," tanya Lutfi melalui aplikasi whatsapp sebaik sahaja saya sampai ke rumah selepas berkunjung menziarahi beliau di UiTM Sungai Buluh.

Ketika itu, saya menjawab tidak. Ini kerana saya tidak sampai hati untuk mengambil gambar beliau yang dalam keadaan sakit.

Ketika saya sampai ke bilik Lutfi petang itu, jururawat sedang mempersiapkan beliau untuk menaiki kerusi roda di biliknya untuk dibawa ke bilik dialisis kerana kaki beliau sedang membengkak manakala pada tangannya, tempat saluran darah diambil untuk pembedahan jantung, sudah ada tanda-tanda jangkitan kuman.

Saya hanya mampu membantu beliau menaiki kerusi roda dan seterusnya mengiringi beliau ke bilik dialisis. Kami berbual-bual sedikit semasa dalam perjalanan itu, namun tidak sampai hati sama sekali untuk mengambil gambar bersama beliau yang dalam keadaan sakit itu.

Selepas sampai ke bilik dialisis, saya dan rakan saya, Nazri Abdullah diminta keluar kerana beliau akan menjalani prosedur untuk dialisis yang terpaksa beliau lakukan setiap dua hari sekali itu.

Catat segala-galanya

Selang tidak berapa lama selepas pulang ke rumah, Lufti memuat naik status di Facebook beliau mengucapkan terima kasih atas kunjungan itu dengan menyiarkan gambar kami ketika kali terakhir kami bertemu di pejabat Malaysia Dateline (gambar paling atas).

Esoknya, anak Lutfi, Luqman yang kebetulan namanya sama dengan anak saya yang ketiga yang sama umurnya, memaklumkan Lutfi dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam. Ini kerana, pembedahan jantung beliau tidak boleh dilakukan lagi kerana jangkitan kuman yang beliau alami.

Lutfi memang begitu. Beliau adalah pemberita yang paling tekun. Beliau suka mencatatkan segala-galanya yang berlaku di depan beliau. Kisah paling panjang yang Lutfi nukilkan adalah kisah kematian anak kesayangan beliau Nur Syafikah.

Tulisannya menarik kerana beliau mengaitkan segala-gala peristiwa yang berlaku di dunia ini dengan beliau. Seolah beliau bercerita kepada umum tentang apa yang beliau dengar, lihat, rasai dan baca.

Selain wartawan yang tekun, Lutfi juga tidak boleh dikongkong. Beliau rela meletakkan jawatan jika gaya penulisan beliau dikongkong oleh mana-mana pihak.

Ketika saya bertugas di Kota Bharu (1990-95), Lutfi meletakkan jawatan sebagai ketua pengarang (ketika itu nama jawatannya pengarang kumpulan kerana orang politik memegang jawatan ketua pengarang) semata-mata kerana beliau tidak boleh bekerja dengan Azizan Razak (allahyarham) yang menjadi pengarah urusan Harakah ketika itu.

Puncanya Azizan menegur dan tidak bersetuju dengan gaya penulisan Lutfi yang bersifat memberikan pendapat dalam laporan. Gaya penulisan begitu dinamakan sebagai neo journalisme oleh Subky Latif, penasihat Harakah ketika itu, ketika saya berjumpa dengan beliau selepas itu.

Selepas meletakkan jawatan itulah Lutfi membuka syarikat penerbitan sendiri yang dinamakan Penerbitan Pemuda. Di sinilah lahirnya pelbagai nama akhbar dan majalah serta buku yang beliau dan rakan-rakannya terbitkan.

Di sinilah juga banyak sejarah dirakamkan tentang perjuangan beliau memperjuangkan media yang bebas. Bukan sahaja kongkongan kerajaan tetapi juga kongkongan parti politik yang memiliki media berkenaan.

Lutfi dan rakan-rakan menubuhkan Kumpulan Aktivis Media Indipendan (Kami) yang memperjuangkan kebebasan media berikutan apa yang beliau rasai sendiri tentang kesan dari kongkongan media oleh kerajaan dan juga pemilik media.

Akibatnya Lutfi beberapa kali disaman dan diheret ke mahkamah.

Usaha ‘bebaskan sedikit’ Harakah

Di episod inilah juga Lutfi bertembung secara langsung dengan dua MB Selangor yang saya yakin kejatuhan kedua-duanya sedikit sebanyak hasil dari pena dan media yang Lutfi terbitkan. Abu Hassan Omar dan Mohamad Khir Toyo saya yakin jatuh sedikit sebanyak kerana Lutfi.

Ketika Lutfi berhenti meninggalkan Harakah, Taufek Yahaya dilantik sebagai sebagai pengarang kumpulan Harakah manakala saya sendiri masih kekal di Kota Bharu sebagai ketua biro Harakah di sana.

Apabila Azizan Razak menang pilihan raya kecil DUN Sala (kini Sungai Limau) di Kedah pada tahun 1995, beliau meletakkan jawatan sebagai pengarah urusan Harakah dan digantikan oleh Hishamuddin Yahya.

Ketika Hishamudin menjadi pengarah urusanlah, saya ditarik balik ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dilantik sebagai ketua pengarang Harakah yang pertama di kalangan kakitangan. Ketika ini Lutfi masih aktif menjadi penerbit di Penerbitan Pemuda.

Apabila saya dipinggirkan daripada Harakah, selepas PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum 2004, saya diminta menguruskan Harakahdaily dan kemudiannya akhbar Siasah.

Suhaimi Mokhtar, bekas timbalan ketua pengarang Utusan yang menjadi setiausaha akhbar Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilantik sebagai ketua pengarang Harakah yang baru.

Selepas dua tahun berkhidmat, pimpinan Harakah mahukan seorang ketua pengarang baharu. Ketika itulah saya mencadangkan agar Ahmad Lutfi dilantik semula ke jawatan ketua pengarang Harakah cetak manakala saya sendiri kekal sebagai ketua pengarang untuk Harakahdaily dan Siasah.

Selepas dilantik, antara langkah awal yang dilakukan Lutfi adalah mengadakan seminar menentukan hala tuju Harakah. Saya antara yang dijemput serta untuk memberikan pandangan di seminar yang disertai oleh pelbagai pihak dalam kepimpinan PAS terutama yang terlibat dengan penerangan di samping wartawan Harakah sendiri.

Ketika itulah, saya dan Lutfi sekali lagi sepakat bahawa sebagai media, Harakah perlu dibebaskan sedikit dan tidak dikongkong sepenuhnya. Bagi saya Harakah perlu memposisikan dirinya sebagaimana akhbar The Star yang dimiliki oleh MCA. Akhbar bebas walaupun dimiliki oleh parti.

Pandangan kami berbeza sekali dengan peserta daripada Dewan Ulama dan Pemuda yang mahukan Harakah digunakan sepenuhnya untuk mempromosikan parti dan menjadi suara parti bukan setakat dimiliki oleh parti. Mereka mahu pada muka depan Harakah ada tiga wajah saja boleh dipamerkan ketika itu, iaitu wajah Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat, timbalannya Dr Haron Din dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mulai sakit

Bagi kami pula, Harakah perlu melaporkan berita semasa di muka depannya untuk menarik seramai mungkin pembaca dan berita parti hanya di dalam akhbar itu.

Ketika itulah kami dapat rasai perpecahan pemikiran dalam PAS dengan jelas, antara ulama dan pemuda dan golongan profesional dalam PAS. Ketika itu ustaz-ustaz muda mulai menguasai Pemuda PAS apatah lagi Dewan Ulama.

Akhirnya Lutfi terpaksa berundur daripada Harakah selepas mula sakit-sakit. Saya sendiri pada tahun 2013, sebaik sahaja selesai pilihan raya umum, mengambil keputusan untuk meninggalkan Harakah.

Pada tahun 2015, dua tahun selepas itu, PAS berpecah dua dan melahirkan Amanah selepas 20 kepimpinan kanannya ditewaskan melalui undi cai dalam Muktamar PAS pada tahun tersebut.


Tulisan ini tidak semesinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.