Bicara kes Guan Eng: Saksi utama tak hadir, MC empat hari
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengambil cuti sakit (MC) dan tidak dapat hadir ke perbicaraan rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Ketika pemeriksaan balas dengan peguam semalam, Zarul yang merupakan saksi utama pendakwaan memaklumkan dia menghidap tekanan darah tinggi dan jantungnya berdebar kencang.
Ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib memaklumkan Zarul tidak sihat.
"Saksi pendakwaan ke-23 Zarul membaritahu kami pagi ini dia diberi cuti (sakit) selama empat hari bermula semalam," katanya.
Pada perbicaraan hari ini, peguam Lim, Gobind Singh Deo sepatutnya meneruskan pemeriksaan balas dengan Zarul.
Hakim Azra Alwi kemudian meneruskan perbicaraan dengan saksi pendakwaan ke-30 Tan Gaik Eng, yang merupakan pengarah kepada sebuah syarikat penilaian tanah.
Semalam, Zarul ditanya berkenaan dakwaannya yang dia membayar RM19 juta kepada ahli perniagaan G Gnanaraja - individu yang didakwa rapat dengan Najib Razak - sebagai rasuah kepada Lim berhubung projek tersebut yang bernilai RM6.3 bilion.
Pada 3 April 2019, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menipu Zarul untuk memberikan wang tersebut kepadanya.
Zarul dalam keterangannya pula berkata wang itu dibayar selepas Gnanaraja mengugutnya dengan pertuduhan pengubahan wang haram.
Dia mendakwa wang itu bagi menghentikan siasatan SPRM terhadapnya.
Lim, 61, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.
Lim dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.
Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai