Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu LCS: 'Najib, Zahid perlu jawab kenapa teguran TLDM tak dilayan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi untuk menjawab persoalan mengapa surat teguran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) dikatakan tidak dilayan pentadbiran ketika itu.

Naib Presiden Muda Zaidel Baharuddin memetik kenyataan bekas panglima TLDM Abdul Aziz Jaafar yang berkata, sekurang-kurangnya 10 surat teguran yang telah dibuat langsung tidak dilayan.

"Isu berbangkit mengenai kegusaran beliau (Abdul Aziz) tentang tatacara perolehan yang dikatakan ‘gravely wrong’ (sangat tidak kena).

"Satu kegilaan apabila menteri pertahanan tidak mendengar nasihat dan pandangan pengguna sendiri (TLDM) dalam isu ini.

"Wajib untuk Najib dan Zahid menjawab beberapa persoalan iaitu mengapa teguran panglima TLDM (ketika itu) tidak dilayan dan apakah surat beliau itu dijawab dan dibalas oleh menteri pertahanan dan perdana menteri ketika itu?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz dalam laporan PAC juga dipetik berkata dia telah membuat teguran berhubung tatacara perolehan sejak dari awal.

"Kami mengarkibkan (bantahan ini) untuk memastikan ia tersedia untuk rujukan, dan saya tidak akan dipersalahkan atas kegagalan melaksanakan tugas saya sebagai Panglima Tentera Laut.

"...Daripada awal lagi saya telah menegur tatacara perolehan. Daripada awal lagi. Saya telah menegur tatacara perolehan, saya kata, “Something is gravely wrong”. (Ada sesuatu yang sangat tidak kena)," katanya.

Dia juga berkata pelik apabila perolehan yang dibuat kerajaan untuk TLDM sebagai pengguna tetapi kuasa "sepenuhnya diberikan" kepada BNS.

Sementara itu Zaidel turut membangkitkan perubahan pilihan reka bentuk LCS daripada jenis Sigma kepada jenis Gowind, antaranya siapakah yang bertanggungjawab atas perubahan tersebut.

"Zahid dan Najib juga perlu menjawab kenyataan bekas panglima TLDM yang memberikan gambaran bahawa kuasa dalam menentukan spesifikasi dan perjalanan projek sepenuhnya kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan bukan kepada TLDM.

"Perkara ini amat serius kerana datang dari mantan panglima TLDM yang secara terang dan jelas menyatakan bahawa projek ini amat diragukan dan secara rasmi telah membantah akan kepincangan ini.

"Najib dan Zahid tak usah berdolak-dalik dengan mengaitkan perkara-perkara yang remeh seperti isu protokol pelancaran kapal atau bersembunyi di sebalik kepentingan kerahsiaan demi keselamatan negara. Mereka mesti dan wajib menjawabnya," katanya.