Skip to main
Logo Malaysiakini

Itu kapal perang LCS sebenar, kata bekas panglima

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang laksamana tentera laut tampil menjelaskan bahawa kononnya pelancaran kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut pada 2017 dilaksanakan untuk menipu dan menggelirukan rakyat adalah tidak benar.

Sebaliknya, panglima tentera laut ke-16, Laksamana Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap dibina sepenuhnya adalah amalan dan tradisi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Ia telah diamalkan sejak sekian lama. Bukan pertama kali di Lumut pada tahun 2017.

“Malah, ini juga amalan biasa di negara-negara lain,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikongsi di laman Facebook.

Kamarulzaman Ahmad Badaruddin

Sebagai contoh, bekas npegawai kanan tentera itu berkata, semasa pelancara LCS yang dibina oleh Naval Group untuk kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Perancis - kapal berkenaan juga belum siap sepenuhnya.

Semalam, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menjadi kecaman orang ramai susulan kenyataannya bahawa kapal LCS pertama akan diperoleh dalam tempoh dua tahun lagi.

Ini kerana semasa bertugas sebagai menteri pertahanan kali pertama pada 2017, dia mengumumkan ketibaan kapal LCS yang pertama ketika itu.

Bagaimanapun kini didedahkan bahawa kapal-kapal tersebut sebenarnya tidak pernah disiapkan.

Ketika itu, Hishammuddin memaparkan gambar yang dikatakan sebagai LCS 1 Maharajalela di Twitter dan mengalu-alukan perolehannya ke dalam armada TLDM.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, dia terpanggil untuk memberi fakta sebenar supaya rakyat tidak terus keliru dengan kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking.

“Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar.

“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk mast yang dikatakan palsu.

“Semua ini turut dijelaskan semasa sesi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) sebelum ini. Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengelirukan orang ramai,” katanya sambil menjelaskan dirinya turut hadir pada upacara berkenaan.

Semalam ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan bagaimana menteri pertahanan itu boleh mengalu-alukan ketibaan kapal yang tidak wujud ke dalam TLDM.

"Wow. Menteri pakai cermin mata apa?" soal Lim di Facebook.

Berkongsi tajuk berita itu adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang bertanya, "Hisham mana yang boleh kita percaya?"

Projek LCS mencuri tumpuan apabila PAC mendedahkan bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011.

PAC juga mendapati kementerian pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada Mei 2011 tetapi dua bulan kemudian menukarnya kepada reka bentuk jenis Gowind, daripada pengeluar kapal selam Scorpene Perancis yang sama, sekali gus bercanggah dengan nasihat TLDM.

Keputusan untuk menukar reka bentuk itu dibuat oleh menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, atas cadangan BNS.

PAC mendapati pelbagai keputusan lain yang dibuat oleh BNS meningkatkan lagi kos, dengan hutang BNS semakin bertimbun.

Malah PAC berkata sehingga kini reka bentuk terpeinci LCS masih belum dimuktamadkan kerajaan dan BNS, menyebabkan pengeluaran perintah variasi (VO) secara berterusan dan terdedah kepada peluang manipulasi.

PAC juga mendapati sebahagian daripada bayaran yang dibuat tidak digunakan dalam perolehan LCS tetapi RM400 juta digunakan oleh BNS untuk menyelesaikan hutang lapuk sebuah lagi projek lama iaitu Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV).