Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Sindrom suka tubuh jawatankuasa khas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Insiden Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang didakwa bertindak tidak wajar ke atas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di hadapan orang awam mencetuskan kemarahan rakyat.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) dalam kenyataan pada 3 Ogos lalu telah mendesak agar KPPA memohon maaf secara terbuka kerana menengking pegawai imigresen terbabit.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kemudian mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden tersebut. Pun begitu rakyat melihat langkah tersebut hanyalah satu lagi bukti terhadap ketidakcekapan kerajaan.

Rakyat tidak melihat apa rasional jawatankuasa khas - yang diketuai Peguam Negara, Idrus Harun - ditubuhkan.

Hal itu kerana kerajaan masih dilihat kurang meyakinkan dalam isu lebih besar seperti ketirisan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang menelan perbelanjaan hampir RM6 bilion.

Pun begitu pada masa sama sikap buruk pegawai kanan kerajaan juga tidak boleh dipandang remeh. Sebarang kelakuan tidak profesional akan menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam di mata masyarakat.

Gambar hiasan

Cuma, dalam konteks sekarang, ‘sindrom’ kerajaan yang kerap menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan sesuatu masalah tidak lagi dilihat sebagai suatu pendekatan yang berkesan.

Justeru, apa yang boleh dilakukan?

Sebenarnya, dalam kes KPPA dan pegawai imigresen itu, cukup jika Ismail Sabri menyerahkan kes tersebut disiasat oleh jawatankuasa pilihan khas (JPK) Dewan Rakyat yang memantau agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPK itu boleh memanggil KPPA untuk menjelaskan tindakannya lalu mengeluarkan laporan memberi cadangan menambah baik kod etika pegawai tertinggi kerajaan, selain tindakan lanjutnya jika perlu.

JPK sudah memadai

Prosiding melalui JPK akan memperlihatkan siasatan dijalankan secara bebas, lebih telus dan terbuka. Laporan hasil siasatan JPK pula boleh diakses oleh ahli parlimen dan orang awam.

Ia berbeza daripada jawatankuasa khas di peringkat badan eksekutif yang tidak mendedahkan butiran lanjut laporan siasatan kepada rakyat.

Ironinya, perdana menteri masih gagal melihat fungsi JPK Parlimen untuk menyiasat setiap masalah yang timbul dalam pentadbiran negara.

Perkara yang sama dilakukan oleh Ismail Sabri apabila meremehkan peranan JPK untuk menyiasat isu pemilikan saham oleh pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, pada awal tahun ini.

Penubuhan beberapa JPK di peringkat Parlimen sudah memadai untuk menyemak sesuatu isu yang timbul dalam pentadbiran negara. Ia juga menjadi penawar kepada sindrom ketagihan menubuhkan jawatankuasa khas baru setiap kali kerajaan berhadapan dengan masalah.

Insiden membabitkan KPPA bukanlah isu tunggal yang telah menjejaskan imej pentadbiran awam di mata rakyat.

Minggu ini sahaja rakyat telah disajikan dengan kisah ketirisan dan salah guna kuasa membabitkan pemimpin politik dan pegawai tertinggi dalam beberapa keputusan dasar yang telah mencalarkan imej Malaysia.

Permasalahan itu juga menunjukkan betapa mustahaknya Malaysia mewujudkan ombudsman. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrfikan Ombudsman sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menyiasat aduan awam terhadap salah laku jentera kerajaan.

Kini ada 170 buah negara sudah memiliki ombudsman sendiri di bawah pengurusan parlimen, termasuk New Zealand dan Indonesia.

Apakah kepentingan ombudsman kepada urus tadbir negara?

Pertama, memastikan pihak eksekutif dan pentadbiran awam membuat keputusan berlandaskan undang-undang. Kedua, mencegah salah guna kuasa, ketirisan, dan rasuah dalam jentera kerajaan berpandukan aduan rakyat. Ketiga, memastikan hak rakyat terbela daripada sebarang tekanan pihak berkuasa.

Sepatutnya diluluskan tahun ini

Dari segi konsepnya, ombudsman bergerak secara bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.

Kebebasan itulah yang memberi ruang kepada mereka menjalankan siasatan secara adil, telus dan tanpa campur tangan pihak eksekutif.

Ia berbeza daripada Biro Pengaduan Awam Awam (BPA) yang kini diuruskan oleh JPM, iaitu perdana menteri.

Dalam erti kata lain, ombudsman memberi jaminan kepada rakyat bahawa masalah sekecil sikap buruk pegawai tinggi kerajaan dalam menjalankan tugas sehingga ketirisan dana kerajaan akan dicegah secara telus dan berpandukan undang-undang, serta tanpa campur tangan kabinet.

Rang Undang-undang Ombudsman sebenarnya sudah ada di atas meja perdana menteri dan Peguam Negara.

Berdasarkan Laporan Kemajuan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, ia sepatutnya diluluskan oleh parlimen pada tahun ini.

Meskipun ramai - termasuk pentadbiran awam - yang sangsi dengan peranan ombudsman, perlu diakui ia merupakan langkah berkesan untuk mengubati isu integriti dan kecekapan pentadbiran negara.

Cuma, dalam keadaan perdana menteri yang tidak lagi berminat menyambung memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik bersama Pakatan Harapan (PH), timbul persoalan sama ada kerajaan akan membawa RUU tersebut di parlimen pada tahun ini atau tidak.

Jika RUU Ombudsman diluluskan, sudah pasti ia boleh mencegah jentera kerajaan, pemimpin politik, dan pentadbiran awam daripada terpalit dengan masalah moral serta integriti yang lebih serius pada masa hadapan.

Jika tidak, pemimpin dan jentera kerajaan akan kerap mengulangi kesilapan sama.

Pentadbiran negara kini berada dalam keadaan yang cukup getir. Sindrom kerajaan yang gemar menubuhkan jawatankuasa khas perlu ditamatkan.

Peranan parlimen sebagai badan menyemak dan meneliti pentadbiran negara harus dihormati dan diiktiraf sebagai kaedah terbaik demi membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar berfungsi untuk kepentingan rakyat.


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.