Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib kaitkan Mahathir isu Boustead bayar hutang guna wang LCS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA MP l Pada tahun 1991 Limbungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dikoporatkan oleh kerajaan pimpinan perdana menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad.

Lalu ia dijual pada tahun 1995 kepada syarikat swasta Penang Shipbuilding & Construction Corporation (PSC) untuk menjadi syarikat PSC-Naval Dockyard.

Pada tahun 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan untuk 27 buah kapal Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) dengan anggaran bajet sebanyak RM30 bilion kepada syarikat swasta tersebut.

Fasa pertama melibatkan pembinaan enam kapal pertama dengan kos RM6 bilion. Namun kontrak ini gagal dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005.

Maka kerajaan melalui syarikat Boustead milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terpaksa bail-out projek ini dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

Syarikat itu dijenamakan semula menjadi syarikat Boustead Naval Dockyard Sdn Bhd.

Biarpun BNS terbeban dengan cabaran hutang dan masalah legasi PSC-Naval Dockyard, ia berjaya menyelamatkan projek tersebut dan menyerahkan enam kapal NGPV antara tahun 2006 hingga 2010.

Masa itu, TLDM dan kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan pembinaan baki 21 buah kapal NGPV yang bernilai sekitar RM24 bilion dan memilih untuk menggantikan projek ini dengan projek Littoral Combat Ship (LCS) yang menjadi kontroversi besar hari ini.

Sebab itu, letter of award diberi pada tahun 2011 untuk membenarkan BNS mula berunding dengan TLDM dan vendor untuk memajukan projek LCS dan untuk terus membina kebolehan serta kepakaran dalam industri pertahanan negara.

Namun, kontrak akhir untuk membina enam buah kapal LCS yang jauh lebih besar can canggih berbanding NGPV hanya ditanda tangan pada Julai 2014 di mana pembinaan fizikal kapal LCS hanya bermula pada Januari 2015.

BNS memang akan mencatat keuntungan sekiranya diberi kontrak pembinaan enam buah kapal LCS dan seperti didedahkan laporan PAC dan juga CEO LTAT, syarikat BNS telah menggunakan RM400 juta daripada bayaran pendahuluan bagi projek LCS untuk menjelaskan hutang lapuk bagi projek NGPV.


NAJIB RAZAK adalah ahli parlimen Pekan dan bekas perdana menteri Malaysia.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di media sosialnya. Ia merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.