Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Warisan gagal kali kedua batalkan tuduhan rasuah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes rasuah melibatkan ahli parlimen Warisan, Rozman Isli akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ini susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan kedua ahli parlimen Labuan itu untuk membatalkan tuduhan rasuah yang didakwa dilakukannya ketika menjadi timbalan pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) lima tahun lalu.

Peguam Rozman, Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan bahawa pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain mengenepikan permohonan ahli parlimen itu hari ini.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan kedua bagi membatalkan tuduhan berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 April lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Rozman untuk membatalkan tuduhan rasuah yang dihadapinya serta menetapkan 11 dan 12 Ogos untuk perbicaraan kes berkenaan.

Rozman sebelum ini mendakwa tuduhan terhadapnya bagi memberikan tekanan supaya dia meninggalkan parti Warisan di Sabah dan menyertai parti Bersatu dalam kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan media sebelum ini, Rafique berkata pihaknya memohon kes itu digugurkan kerana tidak memiliki asas dan mempunyai merit dari segi fakta mahupun perundangan.

Pada 14 Okt tahun lepas, Rozman mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan berkaitan rasuah semasa dia menjadi timbalan pengerusi LPA dengan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan kontrak kerajaan untuk sebuah syarikat yang di dalamnya ada kepentingan bapa serta saudaranya.

Semasa sidang media sehari selepas itu, dia mendakwa tuduhan terhadapnya dibuat berikutan keengganannya keluar daripada Warisan dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut salinan afidavitnya bagi membatalkan tuduhan teserbu, Rozman mendakwa antara mereka yang cuba memujuknya meninggalkan Warisan ialah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pembantu perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yasin dan timbalan menteri.

Dia mendakwa ia adalah sebagai usaha mendapatkan sokongannya sejak 29 Feb 2020, berikutan Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang kepada PN, yang diterajui oleh presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Hari ini adalah hari pertama perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.