Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan kedua Rosmah gugurkan Sri Ram diputuskan 30 Ogos

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Ogos ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan kedua Rosmah Mansor untuk mencabar pelantikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Rosmah awal pagi tadi.

AGC berhujah bahawa permohonan oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC, membangkitkan bahawa pemohon cuba campur tangan dalam prosiding jenayah dengan mengemukakan cabaran di mahkamah sivil.

Rosmah memfailkan permohonan serupa tahun lepas di bawah bidang kuasa jenayah di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak dan rayuannya berhubung keputusan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Gopal Sri Ram, yang merupakan responden ketiga kes ini, mengingatkan bahawa Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan pelantikannya sebagai sah.

Sebagai respons, peguam Rosmah, Jagjit Singh berhujah bahawa pemohon tidak cuba merampas kuasa hakim mahkamah dan hanya mahkamah sivil boleh memberikan pengisytiharan yang diminta pemohon.

Tambahnya, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya tidak menumpukan kepada merit permohonan Rosmah.

Sementara itu, Shamsul turut berhujah bahawa permohonan kebenaran dibuat di luar waktu yang ditetapkan, mengikut Perintah 53 peraturan 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Perintah 53 menyatakan bahawa permohonan untuk semakan kehakiman hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh alasan untuk permohonan itu mula-mula timbul atau apabila keputusan itu mula-mula dimaklumkan kepada pemohon.

Shamsul menegaskan terdapat kelewatan lebih tiga tahun kerana pemohon hanya memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun tahun ini sedangkan dia didakwa pada 15 September 2018.

Berhubung perkara itu, Jagjit menyatakan bahawa permohonan itu dibuat 28 hari daripada tarikh keputusan mahkamah persekutuan pada 27 Mei tahun ini.

Permohonan kali kedua

Rosmah, 70 sekali lagi memfailkan permohonan untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang juga bekas hakim mahkamah persekutuan sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rasuah membabitkan projek tenaga solar untuksekolah pedalaman di Sarawak.

Dia menamakan peguam negara/pendakwa raya, kerajaan dan Sri Ram sebagai responden.

Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Dia memohon pengisytiharan bahawa fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara Idrus Harun pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani oleh Peguam Negara terdahulu, Tommy Thomas pada atau sebelum 15 Nov 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Dia juga memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas di dalam bukunya - 'My Story: Justice in Wilderness' yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad dan bukannya kes solar.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor.

Ia didakwa dilakukan sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 1 Sept untuk menyampaikan keputusannya sama ada Rosmah bebas atau didapati bersalah dalam kes itu.