Demo isu skandal kapal tempur pesisir LCS pada 14 Ogos
Satu bantahan untuk mengetengahkan skandal kapal tempur pesisir (LCS) dirancang diadakan pada Ahad 14 Ogos di Kuala Lumpur.
Penganjur yang menggelarkan diri sebagai Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS berkata mereka akan mengemukakan tiga tuntutan - iaitu kerajaan menyiasat skandal itu, menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan dan kerajaan bertindak balas terhadap surat Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Kerajaan harus bertanggungjawab. Malangnya, tidak ada tindakan serius yang diambil – melainkan alasan dan jawapan-jawapan tidak rasmi di media sosial yang tidak munasabah dari pemimpin parti kerajaan.
"Maka, tidak ada jalan lain untuk rakyat melainkan semua turun dan bersuara supaya kerajaan lakukan tindakan segera.
"Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS juga menyeru semua pimpinan parti politik, badan bukan kerajaan dan juga wakil-wakil masyarakat sivil untuk menyertai protes ini.
"Kehadiran anda adalah bukan sahaja mencerminkan solidariti untuk rakyat, tetapi menggambarkan budaya politik baru yang mengangkat ketelusan dan integriti pentadbiran,” kata penganjur pada satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tidak jelas siapa di belakang jawatankuasa penganjur bantahan ini namun ia dikongsi dengan wartawan dalam kumpulan whatssapp Muda bersama petugas media.
Tunjuk perasaan itu dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang, di kompleks beli-belah Sogo.
Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan siasatannya mengenai projek LCS.
Antara lain, laporan itu mengaitkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang yang bertanggungjawab menukar reka bentuk LCS yang tidak diminta pihak TLDM sebagai pengguna akhir.
PAC juga menyimpulkan terdapat banyak penyelewengan dalam projek yang menyebabkan kelewatan penghantaran dan subkontraktor tidak dibayar.
Menyentuh tuntutan pertama, penganjur bantahan menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS.
Menurut penganjur, pembayaran lebih RM6 bilion telah dibuat dan tiada kapal dihantar setakat ini walaupun kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019.
"Mereka yang mengambil kesempatan dan mengaut untung dari skandal ini harus diheret ke muka pengadilan dengan segera," kata kenyataan itu.
Penganjur bantahan itu juga mendesak Hishammuddin mengambil tanggungjawab penuh dalam skandal LCS dan menuduhnya "culas dalam tugasnya sebagai menteri pertahanan dulu."
"Hishamuddin juga gagal menjadi menteri yang telus dalam skandal LCS ini.
"Hishamuddin tidak menawarkan akauntabiliti kepada skandal LCS ini. Maka, Hishamuddin harus letak jawatan," kata mereka.
Akhir sekali, mereka menggesa kerajaan untuk menjawab 10 surat yang dihantar oleh panglima TLDM ketika itu Laksamana Abdul Aziz Jaafar - lima daripadanya ditujukan kepada menteri pertahanan ketika itu Zahid dan dua kepada perdana menteri ketika itu Najib Razak - semuanya tidak dijawab.
"Selaku pengguna akhir kepada enam buah kapal tempur pesisir, pandangan TLDM adalah amat penting bagi memastikan tidak ada kompromi terhadap isu keselamatan negara.
"Malangnya setiap satu dari 10 surat teguran, surat tidak puas hati dan surat untuk memaklumkan pendirian TLDM telah diabaikan.
"Ia termasuk lima surat kepada menteri pertahanan, satu surat kepada ketua setiausaha perbendaharaan, satu surat kepada ketua setiausaha negara dan juga dua surat kepada perdana menteri.
"Jika surat dari panglima Tentera Laut 'dibakulsampahkan' oleh Kerajaan Malaysia, maka ia adalah gambaran kerajaan yang tidak mementingkan suara mereka yang telah mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
"Maka, (kerajaan mesti) jawab surat Panglima TLDM," kata penganjur bantahan lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai