LCS: Siasatan selesai, SPRM saran pertimbang dakwa 'beberapa individu'
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu siasatan mereka ke atas projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sudah disiapkan.
Menurut agensi antirasuah tersebut ada beberapa kestas siasatan dibuka terhadap individu-individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian.
"Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu," katanya.
Kata SPRM selepas kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, mereka akan menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Terdahulu Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng menganggap pegawai tertinggi SPRM dan Peguam Negara tidak memegang jawatan masing-masing kerana bertindak hanya selepas dipanggil oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Katanya Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Peguam Negara Idrus Harun sepatutnya boleh memulakan tindakan lebih awal, bukannya menunggu arahan daripada Ismail Sabri untuk menyiasat skandal projek membabitkan aset keselamatan negara berkenaan.
"Gagal bertindak ke atas aduan awam dan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sehingga memerlukan arahan khas daripada perdana menteri untuk berbuat demikian menunjukkan bahawa kedua-dua individu terbabit tidak layak memegang jawatan mereka Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Ini menyerlahkan lagi pentingnya kedua-dua jawatan tersebut bebas daripada kawalan perdana menteri bagi mengelakkan daripada disalahgunakan sebagai senjata politik," katanya hari ini.
Untuk rekod semalam Ismail Sabri memberitahu, kabinet bersetuju untuk menggesa SPRM mempercepat siasatan berhubung skandal LCS berkenaan.
Peguam Negara pula diminta mengheret pihak yang berkenaan ke muka pengadilan.
Menurut Ismail Sabri, sesuai dengan keputusan kabinet itu dia memanggil Azam dan Idrus bagi meminta kedua-dua pihak mengambil langkah segera menyiapkan siasatan berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai