Skip to main
Logo Malaysiakini

Nurul Izzah terajui PKR di P Pinang, Kedah, Perlis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar kini menerajui Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi utara Semenanjung, iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika mengumumkan pelantikan Nurul Izzah hari ini, menyatakan keyakinannya terhadap pengalaman anak sulungnya "selama dua dasawarsa" (dekad) akan membantu mengukuhkan kepimpinan negeri.

Di Semenanjung, kata Anwar dia memutuskan supaya timbalan presiden dan naib presiden PKR menggalas tugas persiapan menghadapi PRU15.

"Bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Nurul Izzah akan memimpin negeri-negeri ini," kata Anwar pada sidang akhbar di Pulau Pinang selepas mesyuarat bersama ketua cabang PKR negeri itu, Kedah dan Perlis.

Anwar berkata dia turut menjelaskan kepada pemimpin cabang parti bahawa hanya Ketua PKR Sabah Sangkar Rasam dan Ketua PKR Sarawak Roland Engan - yang dilantik oleh ketua cabang negeri masing-masing.

Jelasnya, pelantikan pengerusi PKR negeri di Semenanjung boleh dikaji semula selepas PRU15.

Terdahulu hari ini, Anwar mengumumkan pelantikan naib presiden parti itu, Chang Lih Kang sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di Perak.

Menurut Anwar, rundingan pelantikan Lih Kang yang juga ahli parlimen Tanjung Malim itu dibuat bersama dengan semua ketua cabang dan dipersetujui sebulat suara oleh mereka.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilantik sebagai pengerusi MPN Wilayah Persekutuan dan Johor.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dipilih mengetuai Negeri Sembilan dan Melaka manakala Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengetuai PKR Kelantan dan Terengganu. .

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula akan menerajui MPN Selangor dan Pahang.