Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri teliti dakwaan majikan kutip bayaran dari pekerja asing

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata pihaknya akan meneliti aduan kelemahan dalam menguatkuasakan konsep 'kos sifar' (zero cost recruitment) dalam pengambilan pekerja asing ke negara ini.

Ini selepas Malaysiakini menerima aduan bahawa terdapat banyak kelemahan dalam mengamalkan konsep kos sifar ini yang mengakibatkan majikan masih mengutip yuran atau fi daripada pekerja asing.

"Saya akan teliti aduan-aduan ini.

"Sebab di bawah zero cost recruitment majikan tidak boleh mengutip fi daripada pekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif MyNext di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

Gambar hiasan, pekerja asing.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa tiada undang-undang, dasar atau pun arahan untuk menguatkuasakan pengambilan pekerja asing secara kos sifar yang menjadi sebahagian usaha negara menangani isu eksploitasi dan buruh paksa.

Malaysia yang merupakan negara anggota Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), menerima pakai konsep "tiada yuran pengambilan" pekerja asing daripada Inisiatif Pengambilan Adil pada 2014.

Menurut sumber kerajaan pada 1 April 2019, Malaysia akan melaksanakannya konsep ini secara lisan supaya setiap perbelanjaan pengambilan yang ditanggung oleh majikan tidak boleh ditolak daripada gaji pekerja.

Ini merangkumi yuran pengambilan dan kos berkaitan termasuk ujian perubatan, perlindungan insurans, ujian kemahiran dan kelayakan, perjalanan dan penginapan, latihan, pentadbiran dan levi, kata sumber itu.

Bagaimanapun, selain membuat pengumuman dan kenyataan, kerajaan tidak mengubah undang-undang buruh atau dasar awam.

Ini dikatakan menjadi sebab majikan masih mengutip bayaran daripada pekerja asing.

Sumber itu juga berkata Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tidak boleh mengambil tindakan terhadap majikan yang masih mengutip bayaran kerana tiada undang-undang atau polisi yang jelas.