Skip to main
Logo Malaysiakini

Rewcastle-Brown gagal rujuk isu perlembagaan berhubung tuduhan fitnah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown gagal dalam permohonannya agar Mahkamah Persekutuan meneliti kesahihan peruntukan fitnah jenayah yang digunakan terhadapnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan adalah pramatang untuk merujuk persoalan keperlembagaan ke Mahkamah Persekutuan sebelum memutuskan permohonan untuk memindahkan kes fitnah tersebut dari mahkamah majistret di Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam keputusannya, hakim Mohamed Zaini Mazlan menjelaskan bahawa permohonan Rewcastle-Brown di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 hanya melibatkan prosiding Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah masih belum memutuskan sama ada membenarkan kes terhadap pemohon dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam istilah orang awam, permohonan pemohon masih berjalan.

“... Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman hanya akan terpakai sekiranya prosiding berkenaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Seksyen 84 menyatakan bahawa jika mana-mana prosiding di Mahkamah Tinggi menimbulkan persoalan mengenai peruntukan perlembagaan, hakim boleh merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan.

Zaini berkata bahawa Rewcastle-Brown bebas untuk membuat permohonan yang sama jika kesnya berjaya dipindahkan.

Hakim menambah bahawa dia tidak mempertimbangkan merit permohonan Rewcastle-Brown apabila membuat kesimpulan tersebut.

Pada 28 Mac, Claire mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan sama ada Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan adalah mengikut perlembagaan dan boleh dikuatkuasakan dalam prosiding jenayah.

Seksyen 499 memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah dan jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 500 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Ini susulan kes fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung bukunya "The Sarawak Report - The inside story of 1MDB", yang menyebut mengenai Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Dia juga memohon untuk memindahkan kes fitnah itu dari Mahkamah Majistret Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan alasan keperluan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tanpa pengaruh tidak wajar.

Dia juga berusaha untuk membatalkan pertuduhan fitnah terhadapnya atas dasar bahawa ia dijalankan dengan niat buruk, berniat jahat dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan kuasa pendakwaan.

Saman sivil berasingan

Sebelum ini, Rewcastle-Brown didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh) dengan tuduhan fitnah pada 23 Sept tahun lepas dan editor juga berdepan saman daripada Sultanah Terengganu.

Saman sivil berhubung fitnah tersebut, yang belum selesai di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, juga berkaitan dengan buku yang sama.

Berhubung saman sivil berasingan untuk kes fitnah berkenaan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada mulanya dijadualkan mendengar saman berkenaan selama empat hari bermula pada 15 Dis tahun lepas.

Bagaimanapun, pendengaran itu dilapangkan selepas Rewcastle-Brown memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding sivil, sementara menunggu penyelesaian kes jenayah terhadapnya.

[Baca berita asal]