Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak saudara Pak Sako taruh keyakinan penuh pada Dr Mahathir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Berpengalaman lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia media massa, Khaidir Ahmad bukanlah nama asing dalam kalangan 'penjenayah' alam sekitar di Pahang.

Dia sebelum ini banyak terbabit dalam membongkar pencerobohan kawasan hutan simpan ketika bertugas di sebuah stesen televisyen sejak tahun 2000.

Langkahnya kemudian diteruskan melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira tujuh tahun lalu, malah pernah diheret ke mahkamah sehingga diisytiharkan muflis pada 2019.

Namun, darah reformis dan nasionalis diwarisi daripada Allahyarham Pak Sako memberi kekuatan kepada Khaidir untuk terus memperjuangkan isu didepani rakyat marhaen.

Untuk rekod Pak Sako - atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad - merupakan bapa saudara Khaidir.

Pak Sako dilahirkan di Bukit Saguntang, Temerloh, pada Sept 1909 dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hulu Langat, Selangor pada 7 Nov 1991.

Sepanjang hayatnya, almarhum terbabit dalam penerbitan akhbar Warta Malaya yang menjadi lidah utama nasionalis Melayu ketika itu mengkritik pemerintah diterajui Inggeris.

Selain menulis untuk akhbar berkenaan, Pak Sako juga menghasilkan novel berjudul Putera Gunung Tahan yang diterbitkan pada 1938.

"Sedikit sebanyak ia membentuk diri saya untuk tidak cepat mengalah kerana nasib rakyat marhaen sentiasa dijadikan bahan taruhan ahli politik di negara ini," kata Khaidir ketika ditemui Malaysiakini di Temerloh, Pahang, kelmarin.

Selepas keluar dari dunia kewartawanan, Khaidir pernah bertanding sebagai calon bebas untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang dan Parlimen Temerloh pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dia bagaimana pun tewas dan hilang wang deposit dalam PRU ke-14 berkenaan.

"Memang saya tahu akan kalah, rakyat (pengundi) luar bandar takkan terima calon bebas. Kalau di bandar, mungkin lain (keputusan).

"Tapi yang penting bagi saya ialah kita bersama-sama menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menentang penyelewengan golongan kleptokrat pada PRU ke-14," katanya lagi.

Dia turut berkongsi mengenai kisah kerugian besar berjumlah kira-kira RM2 juta dialami selepas projek ternakan ikan patin dan kelah dalam sangkar diusahakannya musnah teruk akibat kejadian banjir pada penghujung 2014.

Ketika itu Khaidir baru 'pencen' dari TV3.

Dia cuba bangkit selepas kerugian itu dengan mengeluarkan wang simpanan keluarga, bergadai dan membuat pinjaman berjumlah RM250,000 daripada Agrobank untuk membina projek sangkar ikan baru.

Namun sekali lagi Khaidir diuji apabila projek itu terpaksa dihentikan selepas Pejabat Tanah Daerah Temerloh mengeluarkan notis untuk merobohkan projek berkenaan.

Hal itu kerana projek Khaidir berkonflik dengan cadangan projek pam pasir di kawasan berhampiran.

Dia kemudian disaman fitnah oleh Penolong Pentadbir Tanah Daerah Temerloh selepas apa yang berlaku itu dimuat naik ke akaun Facebook dan mendapat reaksi ribuan netizen.

Khaidir kalah dalam saman berkenaan dan diarah oleh mahkamah supaya membayar RM78,000 kepada plaintiff, selain menanggung bayaran yuran guaman berjumlah RM85,000.

"Episod itu memberi kesan besar dalam perjuangan saya selama ini dalam melawan penyelewengan, salah guna kuasa, dan akhirnya saya diisytiharkan muflis.

"Inilah harga yang perlu dibayar apabila kita lantang menyuarakan isu alam sekitar, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Ketika ditanya kenapa dia menyertai gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan Dr Mahathir Mohamad, Khaidir berkata, gagasan itu bukan hanya memberi tumpuan kepada parti politik semata-mata, malah mengumpulkan aktivis daripada pelbagai NGO dan golongan profesional.

"Kita kena faham, GTA ini bukannya membabitkan gabungan empat parti politik saja iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah

Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

"Tapi ia mengumpulkan semua NGO bumiputera dan profesional. Objektif utamanya pula bukanlah untuk merampas hak kaum lain, cuma nak mempertahankan hak yang sedia ada dan kalau boleh, nak tambah apa lagi yang kurang," katanya.

Khaidir juga menegaskan perjuangannya melalui GTA juga bersesuaian dengan prinsip asal yang diyakininya selama ini.

"Matlamat perjuangan saya sangat jelas. Pertama ialah mempertahankan kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan hidup manusia dan makhluk Tuhan yang lain.

"Matlamat kedua saya pula ialah isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana tiga benda ini, bagi saya, adalah 'ibu kepada segala bentuk kemusnahan'.

"Rasuah inilah yang mengakibatkan pelbagai kerosakan, dah sampai ke 'level' (rasuah membabitkan bekas) perdana menteri dan ini kita tidak boleh nafikan.

"Adakah ini tohmahan? Tidak, mahkamah dah putuskan bersalah, dah ada fakta, macam mana kita nak nafikan lagi?" katanya.

Khaidir turut memberitahu isu rasuah dan penyelewengan paling tidak boleh dimaafkan ialah apabila membabitkan isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Sambil merujuk kepada skandal terbaru membabitkan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM6 billion, dia berkata salah guna kuasa pada skala besar seperti itu bukan saja sangat memalukan, bahkan tidak boleh dimaafkan.

Ditanya mengenai strategi digunakan GTA untuk PRU ke-15, Khaidir berkata, dia menaruh keyakinan penuh kepada kebijaksanaan Mahathir yang memang sudah dikenalinya sejak lama dulu.

Katanya, dia mengetahui kisah dan idealisme Mahathir bukanlah daripada orang lain, apa lagi musuh ahli parlimen Langkawi berkenaan.

Sebaliknya kata Khaidir, dia lama melihat secara dekat ahli politik itu semasa bertugas sebagai wartawan kanan suatu ketika dulu. Dia juga pernah membuat liputan lawatan rasmi Mahathir ke lebih 20 negara.

"Saya percaya dengan gerakan (GTA) ini, saya percaya kepada Tun (Mahathir).

"Gerakan ini boleh berjaya dan saya kenal, hargai Tun daripada apa yang saya tahu dan saya kenal.

"Lagi pun ini kali pertama dalam sejarah Malaysia, satu gabungan yang biasanya membabitkan gabungan parti politik, tapi kali ini kita gabungkan Melayu, NGO, aktivis dan profesional dengan sasaran utama untuk menghalang kebangkitan semula kerajaan kleptokrat yang mengamalkan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah," katanya.