Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi PAC tegur sikap tak kisah BNS terhadap peralatan 'usang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Azhar Jumaat mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung peralatan usang bagi projek kapal tempur pesisir (LCS), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh.

Semalam, Azhar memberitahu wartawan semasa lawatan media ke fasiliti BNS di Lumut, Perak di mana LCS sedang dibina, bahawa kesimpulan PAC bahawa 15 peratus daripada peralatan di gudang mereka adalah usang "tidak sepenuhnya tepat".

Menurut Azhar, memang ada peralatan usang tetapi ia bukan peralatan kritikal ketenteraan, sebaliknya hanyalah TV pintar.

“Adalah tidak adil untuk membandingkan set televisyen dengan peralatan kritikal seperti senjata dan peluru berpandu,” kata Azhar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wong berkata Azhar sendiri memberikan angka "15 peratus" itu semasa memberikan keterangan kepada PAC pada 11 Dis 2021.

"Selepas 9 bulan, BNS sekarang pula kata barangan yang telah menjangkau kita hanyalah Smart TV sahaja dan bukan untuk barangan lain?" soalnya.

Laporan PAC berhubung perolehan kapal LCS tidak mendedahkan "15 peratus" kelengkapan usang tersebut secara terperinci.

Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan Wong, beberapa saksi lain memberitahu PAC bahawa peralatan usang tersebut menjadi masalah bagi projek berkenaan.

Bekas ketua pengarah pasukan projek LCS TLDM, Mohd Shaiful Adli Chung Abdullah memberitahu PAC bahawa jaminan untuk beberapa peralatan telah luput sebelum ia boleh dipasang kerana pembinaan bahagian lain kapal ditangguhkan.

Begitu juga, ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abdul Aziz berkata peralatan yang usang akan menyebabkan kontraktor menuntut lebih banyak wang untuk melanjutkan tempoh jaminan.

Pengarah bebas Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) Saadatul Nafisah Bashid Ahmad memberitahu PAC bahawa sebagai pemilik BNS, mereka telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji inventori projek LCS.

“Kita ada jawatankuasa yang sedang meneliti aset (untuk menentukan) apa yang masih boleh digunakan, apakah aset yang sudah lapuk dan aset mana yang memerlukan tempoh jaminan dilanjutkan,” kata Saadatul.

Wong berkata, saksi-saksi berkenaan tidak akan bercakap mengenai peralatan "usang" dan isu jaminan jika ia hanya melibatkan set televisyen.

“Selaku seorang pembayar cukai, saya juga berharap yang obselete hanyalah Smart TV sahaja. Namun keterangan saksi-saksi yang hadir pada prosiding membuktikan masalah barangan obsolete adalah serius, bertentangan dengan pendirian tiada apa diambil BNSpada hari ini,” katanya.