Skip to main
Logo Malaysiakini

Protes LCS: Peserta himpunan tolak penjelasan, mahu jawapan dana RM6b

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dana RM6 bilion yang disalurkan kerajaan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) boleh digunakan untuk membina ratusan jambatan di pedalaman Sabah bagi membantu murid yang sebelum ini ada dilaporkan "mempertaruhkan nyawa" untuk ke sekolah.

Pengerusi Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Sabah Shahrizal Denci berkata demikian ketika menolak penjelasan BNS berhubung perkembangan projek LCS - yang gagal disiapkan mengikut masa yang ditetapkan - kepada kira-kira 200 orang yang berhimpun di Pusat Beli Belah Sogo di Kuala Lumpur, hari ini.

"Skandal LCS bukan isu Lembah Klang saja. Berapa banyak jambatan, berapa banyak jalan boleh dibina di Sabah dengan RM6 bilion?

"Hari ini saya terbang dari Sabah untuk sertai himpunan ini, untuk mendesak jawapan daripada kerajaan dalam hal keselamatan negara," katanya.

Merujuk laporan ancaman terhadap kedaulatan Sabah daripada waris kesultanan Sulu, Shahrizal menegaskan bahawa pembinaan kapal LCS adalah untuk meningkatkan kesediaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam melindungi perairan Malaysia.

“Kita boleh lawan Filipina ke dengan menggunakan kapal ‘halimunan’?

"Macam mana nak lawan lanun di Semporna kalau pakai kapal kayu?" soalnya lagi.

Shahrizal Denci

Kebanyakan peserta membawa sepanduk berkenaan kehilangan dana awam yang didakwa berkaitan dengan menteri semasa dan sebelum ini yang terlibat dalam meluluskan projek LCS, yang diberkan kepada BNS menerusi rundingan terus pada 2011.

Rakyat peduli

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selain boleh membaiki dan membantu ratusan sekolah daif, RM6 bilion yang dibelanjakan kerajaan untuk LCS itu juga dapat membela nasib veteran tentera.

Dia berkata isu tersebut begitu dekat dengan ramai veteran tentera yang berdaftar sebagai pengundi di kawasannya - Parlimen Setiawangsa - kerana ia memberi kesan langsung kepada angkatan keselamatan negara.


PANDUANKINI | Menyelami skandal LCS bernilai RM9 bilion


“Ahli politik di luar sana yang mencuri wang itu, bukan mereka yang akan berperang (dalam pertempuran).

“Yang berjuang untuk melindungi kita ialah tentera laut, tentera darat dan pasukan keselamatan,” kata Nik Nazmi.

Semalam, dalam lawatan media ke Lumut, Perak, BNS menunjukkan terdapat lima kapal LCS sedang dalam pembinaan dengan kapal pertama mencapai kemajuan 60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi.

LCS2 pula sudah siap 48 peratus, disusuli dengan LCS3 (43 peratus), LCS4 (36 peratus) dan LCS5 (22 peratus). Pembinaan LCS6 pula belum bermula, menurut CEO BNS Azhar Jumaat.

Azhar juga menegaskan dana RM6 bilion yang disalurkan kepada syarikat itu digunakan sepenuhnya, walaupun terdapat isu aliran tunai.

Isu dwipartiasn

Timbalan pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Ali pula berkata isu tersebut seharusnya menyatukan rakyat Malaysia untuk menentang rasuah, merentasi kaum dan agama.

“Bagi pihak DAP, kami akan terus konsisten dalam memerangi rasuah,” katanya.

Selain pemimpin Muda dan PH, Ketua Penerangan Bersatu Ashraf Mustaqim Badrul Munir turut menyertai himpunan dan menggesa kerajaan dipertanggungjawabkan atas dana awam yang telah dibelanjakan untuk projek itu.

Ketika ditemui, Ashraf berkata kehadirannya di himpunan hari ini atas dasar isu LCS yang melibatkan kepentingan dwipartisan.

“Perkara ini mewakili suara rakyat.

“Kehadiran saya hari ini adalah bukti jalan demokrasi baru di Malaysia dan apa yang sepatutnya menjadi budaya politik baru,” kata Ashraf kepada Malaysiakini.

Ashraf Mustaqim

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai penceramah terakhir mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menyahrahsia laporan audit forensik mengenai perolehan LCS.

"Bagaimanapun, semua dalam laporan itu mesti didedahkan secara terbuka. Jangan edit sebarang nama dalam laporan itu," katanya.

Kira-kira 100 anggota keselamatan yang tidak beruniform dilihat berkawal tempat himpunan, menghalang sebarang percubaan peserta untuk bergerak ke jalan.

Penganjur mengisytiharkan himpunan tamat kira-kira pada pukul 3.15 petang dengan para peserta mula beredar tidak lama kemudian.

Susulan himpunan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan berkata polis akan memanggil 13 individu bagi memberi keterangan.

Noor Dellhan berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.