Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga Indonesia dakwa dipenjara dan disebat secara salah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pekerja asing warga Indonesia yang memiliki dokumen perjalanan sah, tampil menuntut keadilan selepas mendakwa dijatuhi hukuman penjara dan hukuman sebat secara salah.

Sabri Umar, memberitahu Malaysiakini dia sedang mempertimbangkan saman terhadap bekas majikannya Fu Yee Corporation, Penjara Tawau dan Polis Tawau tetapi menyerahkan jumlah tuntutan saman kepada peguam.

Pemuda berusia 31 tahun dari Sulawesi Selatan itu bekerja di Fu Yee Corporation iaitu sebuah kilang papan lapis di Kalabakan, Tawau, sejak tujuh tahun lalu.

Dia ditahan atas kesalahan seksual tetapi kemudian didakwa dan didapati bersalah kerana memasuki Malaysia secara haram.

Sabri ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, namun akhirnya didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhi hukuman penjara 11 bulan dan lima sebatan terhadapnya.

Dia mendakwa tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan dibebaskan daripada tuduhan seksual, namun kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditahan semula di bawah kesalahan seksual.

Pada masa hukuman dijatuhkan, pas khas sementara selama sebulan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen pada 5 April masih sah.

Sabri diberhentikan kerja pada 4 April dan ditangkap pada 5 April sebelum dijatuhi hukuman 14 hari kemudian. Dia juga dikenakan lima sebatan lebih kurang 12 minggu kemudian.

Sabri dihukum sebatan walaupun terdapat notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan penghakiman, yang telah difailkan dua hari selepas hukuman di Mahkamah Sesyen. (lihat kronologi)

Sebulan selepas hukuman sebat tersebut dan empat bulan selepas dia diberhentikan kerja, Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan Sabri pada 22 Julai.

"Saya mahukan keadilan"

Susulan pembebasannya, Sabri berkata dia hanya mahu menuntut keadilan.

"Saya mahu diberi pampasan kerana saya tidak melakukan kesalahan. Tiada salah laku seksual dan status imigresen saya masih sah pada masa penahanan.

"Maruah saya, isteri dan anak saya sudah hilang," katanya yang masih takut dan bimbang ditahan semula dan ketidakpastian mengenai status imigresen terbarunya.

Di sebalik ketakutannya itu, Sabri memfailkan aduan di Jabatan Tenaga Kerja Tawau terhadap bekas majikan yang memecatnya dan mempertimbangkan saman terhadap pihak yang menyebabkan dia dipenjara dan disebat.

Sabri masih berada di Malaysia di lokasi yang tidak didedahkan, sambil menunggu tarikh mahkamah bagi tuntutan dipecat secara tidak adil di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Bagaimanapun, usahanya untuk menuntut semula haknya juga bergantung kepada kesediaan Jabatan Imigresen untuk melanjutkan pas khasnya supaya dia boleh kekal berada di negara ini bagi menghadiri prosiding mahkamah buruh.

Pas khas terbarunya akan tamat tempoh pada 25 Ogos.

Peguamnya berkata Jabatan Imigresen telah menyatakan mereka tidak akan melanjutkan tempoh melebihi dua minggu yang ditetapkan.

"Saya ada dua anak dan seorang isteri untuk difikirkan. Majikan saya boleh buat apa sahaja sebab mereka ada duit.

"Saya takut dipenjarakan sekali lagi," kata Sabri kepada Malaysiakini, sambil menambah hubungannya dengan majikannya mula tegang selepas penglibatan aktifnya dalam aktiviti kesatuan sekerja pada 2020.

Sabri adalah antara 31 ahli Kesatuan Pekerja Industri Kayu Sabah (STIEU) di kilang papan lapis Fu Yee yang menuntut gaji mereka yang belum dibayar pada 2020.

Setiausaha STIEU, Engrit Liaw berkata mereka adalah segelintir pekerja yang menuntut gaji yang tidak dibayar ketika lebih 300 pekerja yang diwakili oleh kesatuan dalaman kekal membisu.

Terlanggar tak sengaja jadi tuduhan seksual

Sabri juga mendakwa tuduhan salah laku seksual terhadapnya diada-adakan selepas dia terjatuh dari kerusi dan terlanggar seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun.

Sabri dan keluarganya tinggal kuarters pekerja yang sama dengan kanak-kanak itu dan keluarganya, di premis kilang tersebut.

Dia berkata ibu kanak-kanak perempuan itu telah menarik balik aduan salah laku seksual terhadapnya pada hari berikutnya.

[Baca laporan penuh]