Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: Dari 9 menteri pertahanan, siapa punca isu LCS?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan siapakah menteri pertahanan yang sebenarnya bertanggungjawab dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan kontrak bernilai RM9 bilion itu.

Katanya, sejak tahun 1990, Malaysia mempunyai sembilan orang menteri pertahanan dengan dua daripadanya menggalas jawatan itu sebanyak dua kali.

Lim turut menyenaraikan nama-nama menteri pertahanan bermula dengan Najib Razak pada 1990 hingga penyandang terkini jawatan itu, Hishammuddin Hussein.

"Yang manakah daripada sembilan menteri pertahanan Malaysia sejak tahun 1990 ini yang bertanggungjawab ke atas skandal mega perolehan ketenteraan LCS yang melibatkan RM9 bilion?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Veteren DAP itu berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan "tidak adil" untuk mengaitkannya dengan skandal LCS kerana dia bukanlah menteri pertahanan semasa kontrak berkenaan dimeterai pada 17 Julai 2014.

Justeru soal Lim, adakah Ahmad Zahid cuba menyalahkan Hishammuddin yang merupakan menteri pertahanan selepasnya dari Mei 2013 sehingga Mei 2018.

"Hishamuddin masih belum mendedahkan apa yang dilakukannya sebagai menteri pertahanan sehingga Mei 2018 untuk memastikan proses perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan tidak berakhir sebagai satu bencana dan skandal kewangan.

"Namun dia mempunyai peluang sekali lagi sebagai menteri pertahanan (kini) untuk memperbetulkan kesilapan lampau untuk memastikan Malaysia akan menerima penghantaran keenam-enam LCS memandangkan tidak ada satu pun LCS yang siap walaupun pembayar cukai membayar sejumlah RM6 billion," katanya.

‘Misteri besar’ dalam sejarah

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata adalah tidak wajar untuk sesiapa menyandarkan kegagalan perolehan LCS kepadanya kerana mendakwa dia bukan menteri pertahanan ketika projek itu diberikan.

Pada 4 Ogos, Pengerusi Jawatakuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan jawatankuasa itu yang meneliti pengendalian projek LCS.

Laporan itu mendedahkan walaupun tiada satu pun kapal berjaya disiapkan, Putrajaya sudah membayar RM6 bilion kepada kontraktor yang dilantik.

Menurut dapatan PAC, LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi setakat siasatan itu dijalankan, hanya 44 peratus siap.

Lim berkata Ahmad Zahid tidak boleh menafikan begitu saja sesuatu perkara yang tidak boleh dinafikan.

Jelasnya, sebagai menteri pertahanan pada Julai 2011 Ahmad Zahid telah mengubah keputusan yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menempah enam buah LCS Sigma buatan Belanda.

Sebaliknya, kata Lim, Ahmad Zahid didapati memilih pengeluar Scorpene untuk menempah LCS Gowind buatan Perancis dalam masa tiga hari sahaja tanpa merujuk kepada TLDM sebagai pengguna akhir.

"Keputusan Ahmad Zahid sebagai menteri pertahanan pada 2011 dalam masa tiga hari untuk mengubah keputusan untuk memperoleh LCS Sigma kepada LCS Gowind masih menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah enam dekad kerajaan Umno-BN," ujarnya.